Tiada sekatan pulang beraya tahun ini – PM

Tiada sekatan pulang beraya tahun ini – PM

Tiada sekatan pulang beraya tahun ini. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di negara ini pada masa akan datang dalam berhadapan pandemik Covid-19.

Sehubungan itu beliau memberi jaminan tiada sekatan perjalanan kepada seluruh umat Islam di negara ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Kita sudah tidak akan melaksanakan PKP seluruh negara, negeri mahupun daerah melainkan kawasan-kawasan tertentu sahaja yang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“Tiada lagi sekatan ekonomi akan dilaksanakan dan sektor-sektor ekonomi akan berjalan seperti biasa kecuali kawasan yang dikenakan PKPD,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perjumpaan bersama pegawai-pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Bera di Pejabat Kemas daerah Bera di sii hari ini.

Beliau mengulas mengenai spekulasi yang mengatakan akan ada penutupan ekonomi menyebabkan rakyat tidak dapat pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana penularan wabak Covid-19.

Menurut Ismail Sabri spekulasi berkenaan adalah tidak benar dan rakyat khususnya umat Islam yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak perlu bimbang kerana tiada lagi sekatan ekonomi atau sekatan perjalanan dilaksanakan.

Dalam pada itu mengulas mengenai peningkatan jumlah kes Covid-19 yang merekodkan 4,115 kes semalam beliau berkata ia sememangnya membimbangkan dan perlu dibendung.

“Kita tidak boleh rasa selesa dengan angka kes sekarang, kita tidak mahu negara kita mencapai angka seperti negara Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis. Perlu turun dari segi angka supaya kita dapat isytiharkan endemik apabila jumlah jangkitan di bawah 1,000,”ujarnya.

CATEGORIES
TAGS