Tiada lagi jenama kegemaran wanita, Tupperware bakal tutup kilang. Syarikat pembuat bekas plastik dan produk dapur, Tupperware Brands dilaporkan bersedia untuk memfailkan permohonan muflis pada minggu ini.
Langkah ini diambil selepas syarikat tersebut bergelut selama setahun untuk memulihkan perniagaan yang terjejas akibat pengurangan permintaan.
Walau bagaimanapun, rancangan untuk memfailkan permohonan muflis itu masih belum dimuktamadkan dan mungkin berubah. Wakil daripada jenama tersebut enggan memberikan sebarang komen setakat ini.
Tupperware dilaporkan sedia memfailkan permohonan muflis
Jenama tersebut mahu mendapatkan perlindungan mahkamah selepas melanggar syarat pembayaran hutang, serta memerlukan nasihat undang-undang dan khidmat pakar kewangan.
Persediaan untuk memfailkan permohonan muflis ini akan diikuti dengan rundingan bersama beberapa pihak pemberi pinjaman jenama tersebut.
Ini termasuklah cara untuk menguruskan hutang berjumlah lebih USD 700 juta.
Sebelum ini, peminjam telah memberikan sedikit ruang kepada Tupperware selepas syarikat itu melanggar syarat perjanjian hutang. Namun, perniagaan jenama tersebut terus merosot.
Tupperware telah memberi amaran selama bertahun-tahun mengenai keupayaannya untuk meneruskan perniagaan.
Pada Jun lalu, syarikat tersebut merancang untuk menutup kilang tunggalnya di Amerika Syarikat dan memberhentikan kira-kira 150 pekerja.
Jenama itu juga pernah menggantikan Ketua Pegawai Eksekutif, Miguel Fernandez, dan beberapa ahli lembaga pengarah yang lain pada 2023 sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan perniagaan.
Mereka kemudiannya melantik Laurie Ann Goldman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu.
Tupperware Brands telah beroperasi selama 80 tahun. Produk plastik Tupperware mula menemui pengguna pada tahun 1946 selepas pengasasnya, Earl Tupper, mencipta bekas dengan penutup kedap udara fleksibel.
Jenama ini dengan cepat mendapat perhatian rakyat Amerika Syarikat, khususnya melalui cara ia dijual menerusi parti jualan yang dianjurkan oleh pengguna wanita.
Syarikat ini kemudiannya terus bergantung kepada jualan langsung oleh sekumpulan besar penjual amatur sepanjang tempoh 80 tahun operasinya.
Setakat 2022, terdapat lebih 300,000 penjual bebas jenama ini yang direkodkan.