Tiada lagi ‘full loan’ untuk beli kereta bermula Ogos? Akbar Sinar Harian melaporkan bahawa mulai dari Ogos, tidak akan ada lagi skim pinjaman penuh untuk pembelian kereta. Oleh itu, akan dianggap sebagai kesalahan jika pembeli atau penjual melakukan transaksi ‘full loan’ selepas tarikh ini, apabila peraturan ini mula dikuatkuasakan.
Laporan yang sama juga menyatakan bahawa setiap pembeli yang ingin membeli kereta melalui skim pinjaman atau ansuran akan dikehendaki untuk membuat bayaran deposit. Deposit ini hendaklah sekurang-kurangnya 10% daripada jumlah pinjaman keseluruhan.
Laman Paul Tan turut melaporkan bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memperkenalkan sistem e-invois. Sistem ini akan mempengaruhi transaksi antara pembeli dan penjual kereta dengan cara yang berformatkan digital yang boleh dibaca oleh mesin.
Langkah ini diambil untuk mengatasi isu penjual kereta yang tidak jujur dalam penetapan harga, di mana mereka sering menaikkan harga melebihi nilai sepatutnya apabila menghantar permohonan pinjaman kepada bank.
Salah satu cara untuk meningkatkan harga adalah dengan menyertakan pakej aksesori tambahan seperti filem penapis sinar matahari, kamera papan pemuka, dan lain-lain, dalam transaksi.
Paul Tan juga memberikan contoh bahawa sebuah kereta yang asalnya bernilai RM36,000 mungkin dijual pada harga RM45,000, disebabkan penjual berusaha memaksimumkan harga berdasarkan nilai pinjaman yang diperolehi pembeli.
Selepas ini, semua penjual kenderaan dikehendaki untuk mengemukakan e-invois kepada kerajaan. Sistem ini diharap dapat mengawal masalah peningkatan harga yang tidak wajar ini.
Semua proses transaksi akan dilakukan melalui LHDN, dan angka yang tertera dalam e-invois tersebut harus sama dengan jumlah yang sebenar dibayar.