Teruja Anwar sebagai PM, warga emas ‘melepaskan niat’ belanja orang ramai di kedai kopi

Teruja Anwar sebagai PM, warga emas ‘melepaskan niat’ belanja orang ramai di kedai kopi

Teruja Anwar sebagai PM, warga emas ‘melepaskan niat’ belanja orang ramai di kedai kopi. Seorang lelaki warga emas yang gembira dan teruja dengan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 mengambil peluang membelanja orang ramai di beberapa restoran dan kedai kopi sekitar Permatang Pauh sebagai ‘melepaskan niat’ dengan pelantikan anak jati dari Pulau Pinang itu.

G.Subramaniam, 75, yang merupakan kontraktor berkata, niat untuk belanja orang ramai itu kerana beliau dan seluruh ahli keluarganya menunggu lebih 20 tahun untuk melihat Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Tambun sekarang ini menjadi pemimpin nombor satu negara.

Sejak Jumaat lepas iaitu lepas pelantikan Anwar, memang setiap kali ke kedai kopi atau restoran saya akan buat kenduri untuk orang yang ada di situ, ini untuk lepas niat saya kerana telah lama kita nantikan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Teruja Anwar sebagai PM, warga emas 'melepaskan niat' belanja orang ramai di kedai kopi

“Setiap hari memang ada sahaja orang saya belanja di kedai kopi atau restoran dan ia akan diteruskan sehingga Jumaat ini iaitu genap seminggu pelantikannya…keluarga saya gembira dan teruja lebih daripada kami sambut Deepavali,” katanya kepada Bernama pada majlis kesyukuran sempena pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Subramaniam, bagaimanapun, enggan mendedahkan berapa jumlah ydibelanjakan sejak Jumaat lepas dan berkata ketika menyaksikan siaran langsung majlis pelantikan Anwar, beliau dan ahli keluarga tanpa sedar telah mengalirkan air mata kerana terlalu gembira dan dalam masa sama sebak dengan kejayaan Anwar itu.

Seorang pesara guru, Andrew Tan, 63, berkata, pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri memang ditunggu-tunggu rakyat terutama penduduk di Permatang Pauh kerana figura itu sangat dikenali di kawasan Parlimen tersebut.

“Kita dapat perdana menteri yang bagus la sekarang ini dan memang ditunggu-tunggu oleh rakyat…saya yakin Anwar mampu jadi pemimpin yang terbaik terutama dalam membantu rakyat meningkatkan ekonomi mereka,” katanya.

Beliau, yang datang awal ke majlis kesyukuran itu kerana terlalu gembira berkata, Anwar telah berjuang lebih 20 tahun dan sampai masanya semua pihak memberi peluang untuk beliau menguruskan negara.

Bagi Dr Mohamad Abdullah, 65, pula berkata, Anwar seorang yang sabar dan tidak mudah putus ada malah bukan mudah untuk seorang bekas banduan yang terpaksa berada di penjara lebih 10 tahun untuk bangun serta berjuang sampai ke tahap sekarang ini.

“Beliau seorang pemimpin yang bekerja keras untuk sampai ke tahap ini demi membantu rakyat dan pandangan saya 24 tahun beliau berjuang, namun kita semua doakan Datuk Seri Anwar dapat bantu rakyat terutama dalam isu ekonomi, peluang pekerjaan kepada golongan muda dan menarik lebih banyak pelabur masuk ke negara kita,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Penanti yang berada dalam Parlimen Permatang Pauh, Dr Norlela Ariffin berkata, pihaknya tidak menjangkakan kehadiran orang ramai yang melebihi jumlah makanan disediakan iaitu untuk 600 orang.

“Masakan ini dimasak oleh jentera kami (Pakatan Harapan) di sini bagi meraikan pelantikan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri, dan jumlah yang hadir melebihi jangkaan,pihak penganjur terpaksa memasak dua kali malam ini bagi memastikan semua yang hadir mendapat makanan,” katanya menganggarkan hampir 2,000 orang yang hadir.

Dalam pada itu, anak Anwar, Nurul Izzah, yang merupakan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh menerusi Facebooknya, memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam majlis tersebut kerana dijangkiti Covid-19.

“Insya-Allah, saya akan bertemu para jentera yang telah membantu saya selama ini pada sesi yang seterusnya. Alhamdulilah, setakat ini saya hanya mengalami gejala ringan. Mohon doakan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, orang ramai dikejutkan dengan dua kek besar yang dihantar Anwar menerusi petugasnya sebagai kejutan kepada mereka yang hadir di situ.

Baca Lagi:
Dituduh jadi ejen Israel, Anwar arah polis ambil tindakan
Mercedes S600 dipesan PM yang dulu sempat dibatalkan – Anwar
Burung Kuang yang dianggap pupus 140 tahun lalu ditemui saintis amat mengejutkan
CATEGORIES