Terengganu negeri tiada perancangan ekonomi yang baik?, MB Terengganu sekolahkan Rafizi

Photo of author

By Joe

Terengganu negeri tiada perancangan ekonomi yang baik?, MB Terengganu sekolahkan Rafizi. Kerajaan negeri membidas dakwaan bahawa Terengganu adalah antara negeri tiada perancangan ekonomi yang baik, dengan menyifatkannya umpama pepatah ‘mengail ikan tetapi mata kail di kaki sendiri’ atau ‘shooting your own foot’ dalam bahasa Inggeris.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata isu terbabit yang dibangkitkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika bercakap soal belanjawan Persekutuan, kelmarin, dilihat seolah-olah mempolitikkan perkara berkenaan.

Beliau menegaskan, semua pihak perlu ingat bahawa hasil yang diperoleh dan dikumpulkan negara adalah daripada seluruh rakyat dan semua negeri.

Terengganu negeri tiada perancangan ekonomi yang baik?, MB Terengganu sekolahkan Rafizi

“Ya, ada perkara berpolitik dan ada perkara yang kena keluar daripada politik. Kita perlu berjiwa besar, bukan berasa diri besar atau berasa ‘superiority complex.’ Pandangan kita walau hebat macam mana pun, adakala kena berpijak di alam nyata. Tidak rugi untuk duduk mendengar pandangan rakyat di bawah.
“Setiap rakyat ada bayar cukai, tak kira apa nama atau jenis cukainya. Hasil dari negeri diangkut ke Persekutuan, dalam bentuk dipersetujui bersama dan bukannya rampasan. Maka, semua negeri ada harga diri dan peranannya, kerana Malaysia dibina daripada semua negeri-negeri ini
“Semua bidang kuasa kerja kerajaan termaktub dalam Perlembagaan dalam Jadual Kesembilan Senarai Perundangan, dengan tiga kaedah pembahagian kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kelmarin, media melaporkan Rafizi berkata, kerajaan akan menambah baik agihan peruntukan kepada negeri, dalam Belanjawan 2024 bagi memastikan ia lebih adil, terutama untuk negeri yang tidak mendapat peruntukan tinggi sebelum ini.

Rafizi dipetik memaklumkan ketika ini, terdapat enam negeri diberikan keutamaan pada setiap kali belanjawan, iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, yang mendapat lebih 50 peratus daripada peruntukan pembangunan, namun sebahagian negeri berkenaan tidak mempunyai perancangan ekonomi yang baik.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, projek pembangunan di semua negeri adalah melalui proses perbincangan dan penilaian puluhan pakar, agensi serta kementerian sebelum ia menjadi senarai dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Apabila kata bincang, bermakna kementerian-kementerian termasuk Kementerian Ekonomi telah berbincang sebelum ini dengan semua kerajaan negeri. Bukan bincang tepi jalan. Itu tanggungjawab bersama dan bukan negeri seorang diri. Kenapa negeri yang nak diperlekehkan?

“Saya tidak ingin menyebut angka-angka, atau peratusan nombor semua perkara ini, kerana pihak Menteri sepatutnya membaca angka-angka ini dan melihat nama fail sebelum membuat kenyataan sedemikian.

“Tidak bolehkah kita membina hubungan lebih harmoni, dengan duduk berbincang sama ada di negeri-negeri atau Putrajaya kerana itulah sebab ada Senarai Bersama dalam Jadual Kesembilan dengan semangat Federalisme yang mengukuh, terutama selepas pilihan raya dijalankan? Kalau itu pun tidak boleh, negara kita tidak akan bergerak ke hadapan.

“Jika ada YB Menteri yang marahkan rakyat Terengganu kerana memilih kami pada pilihan raya, baru-baru ini, biarlah saya jadi galang ganti untuk dimarahi. Jangan dera rakyat kerana pilihan mereka. YB Menteri, kalau apa yang saya nukilkan ini salah, mohon banyak kemaafan, saya hanya mahu kita semua bergerak pantas ke hadapan,” katanya.

Baca Lagi:
“Nasib ada pengalaman 3 tahun”, kucing tolong repair lampu rumah raih perhatian ramai
Lelaki terkejut rumput bergoyang, rupanya ikan puyu berhijrah
Restoran cari pekerja yang pandai tebar roti canai, gaji ditawar sebanyak RM16,977