Tengok dari jauh pun dah tahu, ini 7 tips pilih ikan segar yang ramai orang tak tahu. Apabila hendak membeli ikan, bahagian basah di pasar pastinya menjadi tempat yang dituju. Selepas itu, sesi memilih ikan segar biasanya dilakukan dengan memeriksa keadaan matanya. Namun, tahukah anda bahawa terdapat cara lain untuk memilih ikan segar selain hanya memerhatikan mata ikan?
Untuk mengetahui lebih lanjut, ikuti 7 petua memilih ikan segar selain daripada memerhati mata ikan seperti berikut.
1. Perut ikan
Ikan kecil seperti pelaling, kembung atau selar kuning, anda boleh lihat di bahagian bawah perutnya. Tambahan pula, ikan yang baru ditangkap akan mempunyai perut yang masih cantik dan keras.
Bagi ikan yang tidak segar, perutnya mungkin sudah pecah atau nampak seolah-olah nak pecah.
2. Warna insang ikan
Ikan segar atau masih baru ditangkap akan mempunyai warna insang yang merah pekat, hampir seperti warna darah. Selain itu, insang ikan juga akan terasa sedikit basah, tetapi tidak terlalu berlendir.
Insang ikan yang sudah lama pula, mungkin kelihatan pucat dengan warna kecoklatan atau kehitaman dan mungkin sudah sedikit berlendir.
3. Bau ikan
Sudah semestinya, ikan yang baru di pasar dan masih segar akan berbau seperti air laut. Manakala, ikan yang sudah lama akan berbau busuk, tiada bau laut dan hanyir yang agak kuat.
4. Warna mata ikan
Kalau nak tahu, ikan yang segar akan memiliki mata yang masih bening dan menonjol keluar dari lubang matanya. Mata ikan yang sudah lama pula, akan menjadi agak merah dan biji mata akan terlihat agak masuk ke dalam.
5. Sisik ikan
Sisik ikan yang masih segar akan melekat pada badannya. Namun, jika ikan tersebut agak lama, kebanyakan sisiknya mungkin sudah terlepas atau berserakan di sekitar tubuhnya.
6. Warna badan ikan
Nampak berkilat dan segar dengan warna yang cerah, merupakan ciri-ciri ikan yang baru ditangkap. Warna asal yang berubah menjadi agak kekuningan dan kulit mengelupas pula ciri-ciri ikan yang sudah lama disimpan.
7. Rasa tekstur ikan
Ikan yang baru saja dikeluarkan dari air, badannya terasa padat dan keras ketika disentuh di jeti. Selain itu, isi dalamnya juga tetap pejal meskipun ditekan.
Sebaliknya, ikan yang sudah tidak segar mempunyai isi yang lembik dan mudah pecah apabila ditekan.