Tengah sedap cicah roti bakar dan teh tarik di warung, 2 lelaki kantoi ponteng puasa

Photo of author

By Joe

Tengah sedap cicah roti bakar dan teh tarik di warung, 2 lelaki kantoi ponteng puasa. Dua lelaki berusia 50-an sanggup menjadikan ruang tersembunyi di sebuah warung bukan Islam di Bukit Rambai di sini untuk ponteng puasa dengan alasan sakit dan tidak larat, sambil menikmati teh tarik serta roti bakar pada pagi tadi.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, serbuan Operasi Kesalahan Tidak Menghormati Ramadan itu dilakukan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di warung berkenaan pada jam 11.05 pagi tadi.

Menurutnya, ketika diserbu, orang yang disyaki (OYDS) yang berusia 52 dan 53 tahun itu sedang leka menikmati hidangan di ruang tertutup di belakang premis berkenaan.

Tengah sedap cicah roti bakar dan teh tarik di warung, 2 lelaki kantoi ponteng puasa

“Seorang daripadanya yang bekerja sebagai tukang pendawaian elektrik memberi alasan tidak sihat untuk minum di situ bersama rakannya yang merupakan tukang rumah yang mengaku tak larat untuk berpuasa.
“Malah, ketika serbuan, pasukan penguat kuasa terpaksa masuk melalui tingkap kerana pintu belakang premis kayu itu dikunci dipercayai untuk mengelak dihidu oleh pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui pemberita dalam operasi itu hari ini.

Operasi turut disertai Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat dan Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Akmal Nadzim Abdullah.”

Mengulas lanjut Rahmad berkata, walaupun tidak sihat umat Islam tidak boleh menjadikannya sebagai alasan untuk menikmati makanan di tempat awam.

“Ini menjadi kesalahan di bawah Seksyen 49, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka (EKSNM) 1991: Kesalahan menjual makanan dan makan dalam bulan Ramadan.

“JAIM akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa sepanjang Ramadan ini dan mengingatkan orang ramai kesalahan ini tidak boleh dikompaun sebaliknya mereka dikehendaki hadir ke mahkamah untuk tindakan seterusnya,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, setakat 7 Ramadan hari ini, JAIM telah menjalankan 11 Operasi Kesalahan Tidak Menghormati Ramadan melibatkan 127 premis makanan.

“Daripada jumlah ini, kita berjaya menahan 8 OYDS lelaki yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 49 EKSNM 1991 yang boleh didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau dipenjara sehingga enam bulan jika disabitkan kesalahan kali pertama.

“Tahun lalu, kita berjaya menghasilkan 38 kes dengan kesemua mereka memberi alasan tidak sihat, namun kesalahan ponteng puasa ini tidak sepatutnya berlaku di tempat awam,” tegasnya lagi.

Baca Lagi:
7 kawasan kediaman mewah pilihan golongan kaya di Malaysia, sekali pandang macam shopping mall!
Anak perempuan tak beli tiket punca ibu bapa kalah saman lebih RM500,000
Lelaki terkejut beli aiskrim kacang disaluti ular beku buat netizen seram