Tengah mancing pak belang datang depan muka, cara kaki pancing kawal keadaan raih perhatian ramai. Dua lelaki mengalami detik cemas apabila didatangi seekor harimau belang semasa sedang memancing di sebuah kawasan hutan dekat Felda Nitar 1, Mersing, Johor pada Khamis.
Kejadian berlaku apabila kedua-dua individu tersebut sedang leka memancing sebelum salah seorang daripada mereka terserempak dengan haiwan buas itu ketika dipercayai ingin mengambil begnya.
Seolah-olah terkaku di situ, lelaki terbabit walau bagaimanapun berjaya mengawal situasi cemas tersebut sambil menerima arahan dan petua daripada rakannya di belakang.
Tidak panik dan melarikan diri, individu berkenaan sebaliknya diminta untuk berundur perlahan-lahan ke belakang sambil dibacakan surah Al-Fatihah dan doa agar dijauhkan daripada serangan haiwan tersebut.
Sebaik sahaja melihat harimau itu pergi, kedua-dua mereka kemudiannya memanjat pokok untuk tujuan keselamatan sehingga mereka benar-benar memastikan haiwan buas itu tidak kembali.
Insiden tersebut sempat dirakam dan dikongsikan di laman Facebook Nazrie Iskandar.
“Alhamdulillah, umur saya masih dipanjangkan dan diberikan pengalaman seumur hidup, berhadapan dengan harimau semasa memancing.
“Kepada kawan-kawan, berhati-hatilah apabila berada di dalam hutan. Kita hanya mampu merancang, tetapi hanya Tuhan yang menentukan. Alhamdulillah, Ya Allah,” katanya.
Dalam pada itu, di ruangan komen, seorang warganet berkongsi petua berguna jika terserempak dengan haiwan buas di hutan.
“Kata orang tua-tua dahulu, jika jumpa harimau, jangan lari. Undur perlahan-lahan dengan muka menghadap haiwan tersebut sehingga kamu tidak nampak lagi bayangnya, barulah kamu boleh berpusing dan lari.
“Harimau tidak akan menyerang kita jika kita berhadapan dengannya. Biasanya, ia akan menyerang dari belakang, kecuali jika kita memberi ancaman kepada mereka, terutama jika mereka mempunyai anak.
“Orang tua-tua kata, sebab harimau tidak menyerang secara berdepan, ia juga takut. Selain itu, di dahi kita terdapat kalimah Allah,” ujar Hanafi Tangkak.
@nazrie_iskandar alhamdulillah masih dipanjangkan lagi umur mat dan memeng… pengalaman seumur hidup tengah casting harimau datang berdepan… kepada kawan2 mat berhati-hatilah ketika berada di dalam hutan…kita hanya mampu merancang hanya tuhan menentukan…alhamdulillah ya allah🤲 #syukuralhamdulillah #casting #alhamdulillah #semuaallahbagi #ozmy ♬ bunyi asal – nazrie_iskandar
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan kepada kedua-dua lelaki terbabit, dan harimau berkenaan difahamkan beredar selepas melarikan beg mereka.
Menganggap ia sebagai pengalaman yang sukar dilupakan, individu tersebut bersyukur kerana masih bernyawa dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika beraktiviti di dalam hutan.