“Tempat paling tidak selamat diduduki di Malaysia adalah di Kuala Lumpur”- Posting FB lelaki ini pada tahun 2015 kembali tular. Kejadian tanah jerlus di Masjid, India, Kuala Lumpur pada hari Jumaat telah membuka mata masyarakat mengenai bahaya pembangunan pesat di ibu negara ketika ini.
Lebih parah, seorang wanita warganegara India, berusia 48 tahun, disyaki terjatuh ke dalam lubang yang kedalamannya kira-kira 10 meter di lokasi tersebut.
Sehingga kini, belum ada sebarang penemuan dilaporkan oleh pihak polis, sementara anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih giat menjalankan operasi menyelamat mangsa.
Dalam pada itu, laman sosial kini heboh dengan perkongsian tular seorang pengguna yang sebelum ini pernah memuat naik hantaran berbentuk amaran kepada penduduk Kuala Lumpur.
Aktivis dan Pengasas Save Merapoh Caves, Mohd Laili Basir, pada tahun 2015, pernah membangkitkan isu ini, yang menurutnya, lokasi paling tidak selamat diduduki di Malaysia adalah Kuala Lumpur.
Jelasnya, malapetaka lubang besar (sinkhole) atau ‘Giant Sinkhole’ boleh berlaku bila-bila masa sahaja ekoran pembangunan tanpa henti dan sistem saliran yang huru-hara di bawah permukaan tanah kota raya itu ketika ini.
“Giant Sinkhole boleh berlaku bila-bila masa sahaja tanpa dapat diramalkan oleh sesiapa. Sekitar 40 hingga 60 peratus dasar Kuala Lumpur adalah batu kapur.
“Pembangunan tanpa henti, sistem saliran yang huru-hara, kejadian mendapan atau pasir jerlus, pengaliran keluar air bawah tanah, bebanan melampau, pergerakan fizikal termasuk pembangunan persekitaran adalah antara penyebab malapetaka ini boleh berlaku lebih cepat.
“Pada masa ini, di bawah Kuala Lumpur sedang terbentuk gua-gua batu kapur yang besar. Kuala Lumpur pula berada di atas bumbung gua-gua ini dan apabila bumbung gua ini tidak dapat menanggung beban, ia akan runtuh bersama-sama Kota Kuala Lumpur ke dasarnya,” katanya di laman Facebook pada Mei 2015.
Tambahnya, terdapat satu rahsia di mana sebuah gua besar pernah ditemukan di Cheras, Kuala Lumpur semasa proses penggalian projek laluan MRT Putrajaya atau MRT2 dijalankan.
Namun, penemuan tersebut dirahsiakan dan gua itu disumbat dengan bahan binaan bagi memastikan projek terowong berkenaan tidak terganggu dan berjalan lancar.
Hantaran itu kembali tular di laman sosial sejak hari Sabtu, dan warganet mula mempertikaikan ciri keselamatan pembangunan di Kuala Lumpur.
Terdahulu, JBPM menjelaskan hanya seorang anggota dibenarkan masuk ke ‘manhole’ untuk mencari mangsa dalam insiden tanah jerlus di Masjid India. Ini disebabkan terdapat gas beracun yang boleh mengundang bahaya kepada anggota semasa operasi mencari dan menyelamat.