Tempah teksi pukul 3 pagi, penumpang kena bawa kereta, pemandu teksi tidur belakang. Seorang penumpang wanita di Pattaya menjadi tumpuan pengguna TikTok selepas berkongsi pengalaman lucu mengenai pemandu teksi yang mengantuk, seperti laporan The Pattaya News hari ini.
Dalam video yang dimuat naik semalam (21/5/2024), wanita yang tidak mendedahkan nama sebenarnya menceritakan pengalamannya mendapatkan perkhidmatan teksi pada pukul 3 pagi.
Dia mahu menggunakan teksi untuk perjalanan dari Pattaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok.
Namun, wanita itu sebaliknya terpaksa memandu teksi itu kerana pemandunya tertidur nyenyak di tempat duduk belakang kenderaan.
Menurut wanita itu, dia sedar bahawa pemandu teksi yang datang menjemputnya dan rakan-rakannya kelihatan mengantuk. Pemandu itu dilaporkan sempat tertidur sebentar selepas memulakan perjalanan, jadi wanita itu bertanya dengan sopan sama ada dia boleh mengambil alih pemanduan.
Seperti yang diperlihatkan dalam video, pemandu itu bersetuju untuk membenarkan wanita itu memandu dan duduk di tempat duduk belakang untuk tidur.
Rakan wanita itu merakam pengalaman lucu mereka sebelum memuat naiknya ke TikTok, sambil bergurau: “Kami memandu sendiri dari Pattaya ke Lapangan Terbang Don Mueang, dengan pemandu tidur nyenyak di belakang kami.”
Ramai netizen memberi pendapat mereka tentang keputusan wanita itu untuk memandu, dengan beberapa mengkritik pemandu teksi itu kerana tidak profesional.