Tembak mati pegawai bank, hukuman gantung pengawal keselamatan diganti kepada penjara 38 tahun

Photo of author

By Joe

Tembak mati pegawai bank, hukuman gantung pengawal keselamatan diganti kepada penjara 38 tahun. Bekas pengawal keselamatan warga Indonesia, La Ode Ardi Rasila, 47 tahun, yang sebelum ini dijatuhi hukuman gantung atas tuduhan membunuh pegawai AmBank cawangan Subang Jaya pada tahun 2013, berjaya mengetepikan hukuman mati tersebut.

Keputusan itu diumumkan oleh panel hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah di sini pada hari ini.

Susulan keputusan tersebut, hukuman terhadap La Ode telah digantikan dengan hukuman penjara selama 38 tahun dan 12 sebatan berdasarkan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas berjaya dalam rayuan hukuman tersebut.

Tembak mati pegawai bank, hukuman gantung pengawal keselamatan diganti kepada penjara 38 tahun

Lelaki yang berasal dari Sulawesi, Indonesia, juga dikenakan hukuman penjara 33 tahun dan 12 sebatan bagi kes kedua di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 atas tuduhan melakukan rompakan dan melepaskan tembakan dengan senapang patah dengan niat jahat, setelah hukuman mati diketepikan.

Kedua-dua hukuman itu bermula sejak tarikh dia ditangkap pada 10 November 2013.

Menurut kertas pertuduhan, La Ode dituduh membunuh Norazita Abu Talib yang berusia 37 tahun pada waktu itu di dalam bangunan AmBank di Jalan Sentral 2, USJ Sentral, Subang Jaya, Selangor antara jam 6 petang dan 6.30 petang pada 23 Oktober 2013.

Dalam kejadian itu, La Ode dilaporkan meminta seorang rakan sekerja mangsa untuk memasukkan kira-kira RM500,000 ke dalam sebuah beg sebelum melarikan diri menggunakan motosikal.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad manakala La Ode diwakili oleh peguam, S Selvi.

Pada 29 Februari 2016, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengekalkan hukuman gantung terhadap lelaki tersebut setelah panel lima hakim yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif, menolak rayuan La Ode dengan sebulat suara. Mereka berpuas hati bahawa terdapat bukti yang mencukupi untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum itu.

La Ode tinggal di Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan palsu dan mencari pekerjaan di Malaysia sebelum bekerja sebagai pengawal keselamatan pada tahun 2012.

Baca Lagi:
Usahawan tudung bawal terkejut dapat hadiah BMW bernilai RM1.6 juta dan tasbih emas 916 bernilai RM30,000
Meerqeen beli Mercedes Benz untuk kali kedua berharga RM600,000
Dua budak lelaki kira duit seringgit beli buah durian ‘reject’ buat ramai sebak