Tasik tertua di dunia berusia 500,000 tahun bertukar air hijau. Tasik tertua di rantau Amerika Utara telah bertukar warna menjadi hijau pada bulan lalu, menurut laporan akhbar Daily Mail kelmarin.
Keadaan ini telah menimbulkan kebimbangan tentang risiko kesihatan di kalangan pengguna air tasik tersebut.
Pihak berkuasa negeri California telah mengeluarkan amaran kesihatan minggu lalu selepas Tasik Clear yang berusia 500,000 tahun itu dilanda alga biru-hijau yang berbahaya.
Alga tersebut berpotensi melepaskan toksin atau bahan beracun seperti microcystin yang boleh menyebabkan radang kulit.
Air yang tercemar juga boleh memberi kesan buruk kepada buah pinggang dan hati jika diminum.
Perubahan di Tasik Clear berlaku secara semula jadi, tetapi situasi paling teruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh aktiviti perlombongan dan pembuangan kumbahan.
Setakat 25 Mei lalu, ukuran microcystin di tasik tersebut masih belum diketahui.
Bagaimanapun, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) melaporkan bahawa walaupun toksin tidak terdapat dalam alga tersebut, tumbuhan itu masih boleh memusnahkan hidupan akuatik.
NASA yang merakam perubahan tersebut dari angkasa lepas melaporkan bahawa pencemaran air tasik itu berasal dari ladang anggur, sistem septik yang rosak, lombong batu kelikir, dan lombong merkuri terbiar.