Tanding PRN Selangor, ditawar jadi MB jika menang. Khairy Jamaluddin dilapor mempertimbangkan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan ditawarkan menjadi menteri besar sekiranya menang, lapor The Star.
Laporan itu bagaimapun tidak menyebut mana-mana parti politik tertentu yang dikatakan memberi tawaran itu.
“Terdapat perbincangan dengan beberapa pihak dan terdapat juga perbincangan mengenai peranan,” kata Khairy dalam pertemuan dengan Kelab Concorde – kumpulan tidak rasmi pengarang dan wartawan kanan yang diketuai oleh Wong Chun Wai.
Bagaimanapun, Khairy masih belum memutuskan perkara itu. Pilihan raya negeri (PRN) Selangor perlu diadakan tahun ini.
“Sekiranya saya membuat keputusan untuk tidak bertanding pilihan raya negeri, maka saya akan mempunyai lebih banyak masa untuk memutuskan platform politik yang saya pilih sebagai babak seterusnya dalam perjalanan politik saya.
“Jika saya mahu menyertai PRN, saya perlu membuat keputusan dalam beberapa bulan akan datang ke arah mana saya akan pergi,” katanya.
Khairy menyifatkan PRN akan datang sebagai “peluang baik” tetapi menjelaskan bahawa dia belum memutuskan sama ada dia sudah bersedia untuk berdepan satu lagi pilihan raya.
Semasa Pilihan Raya Umum – ke15 tahun lalu, Khairy tewas di Sungai Buloh.
Sebelum ini, dia adalah ahli parlimen Rembau selama tiga penggal. Dia juga pernah menjadi anggota kabinet di bawah tiga perdana menteri.
Khairy dipecat daripada Umno pada 28 Jan tanpa sebarang alasan rasmi. Difahamkan, dia dipecat ekoran mengkritik kepimpinan parti ketika kempen PRU15.
Sementara itu, Khairy berkata dia tidak berhasrat untuk menubuhkan parti baru kerana Malaysia ketika ini “agak tepu” dengan parti politik.
“Walaupun ia adalah satu pilihan, ia tidak mungkin,” katanya.