Takut hilang elaun RM1,500 dari anak, ibu halang anak umur 34 tahun kahwin siap bagi alasan tak masuk akal. Setiap ibu bapa pasti tidak terlepas daripada merasai kesedihan apabila anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang akhirnya mahu menamatkan zaman bujang.
Walaupun hati mereka berat, itu bukan alasan untuk menghalang anak-anak yang sudah mencapai usia matang untuk mempunyai pasangan dan mendirikan rumah tangga.
Namun, situasi yang dikongsikan oleh seorang wanita ini agak berlainan, di mana dia mendakwa dihalang untuk berkahwin oleh ibunya tanpa alasan yang kukuh.
“Apa yang perlu saya buat jika ibu menghalang saya berkahwin? Ibu kata dia tidak merestui jika saya ingin berkahwin.
“Ibu melabel saya sebagai derhaka jika tidak menurut katanya,” luah wanita berusia 34 tahun yang enggan mendedahkan identitinya.
Menurut wanita berkenaan, dia sebelum ini menurut sahaja arahan ibunya kerana memikirkan adiknya yang masih memerlukan bantuan kewangan kerana sedang menuntut di universiti.
“Empat tahun lepas, ibu pernah cakap, jika saya mahu berkahwin, biar selepas adik bongsu tamat pengajian di universiti. Sekarang adik sudah tamat pengajian, tetapi ibu masih tidak memberikan izin.
“Saya bekerja di Kuala Lumpur dan tinggal berasingan dengan ibu. Selama ini, saya tidak pernah culas untuk memberikan duit sebanyak RM1,000 hingga RM1,500 kepada ibu, serta belanja adik di universiti.”
“Kalau ibu tidak memberikan izin saya berkahwin kerana soal duit, saya sangat kecewa. Selain dari soal kewangan, saya juga telah menyerahkan harta pusaka arwah bapa kandung saya kepada dua adik lelaki. Saya tidak mengambil bahagian dalam pusaka itu.
“Alasan ibu (tidak memberi izin berkahwin) adalah kerana anak kawan ibu ada masalah selepas melahirkan, dan ibu tidak mahu saya mengalami nasib yang sama. Entahlah, sedih rasanya,” luahnya lagi.
Mengakui sedang mengenali hati budi seseorang, wanita tersebut kini dilanda dilema antara keinginannya sendiri dan ketaatan kepada ibu.
“Apa yang perlu saya buat jika ibu menghalang saya untuk berkahwin?
“Apa tindakan dari segi undang-undang atau agama yang mungkin saya hadapi jika saya ingkar?
“Pada masa yang sama, saya ingin berkahwin untuk masa depan saya. Dan saya tidak mahu dianggap sebagai anak derhaka. Mohon pandangan yang baik,” luahnya lagi.
Hantaran wanita berkenaan menarik perhatian netizen, dengan rata-ratanya meluahkan rasa simpati terhadap situasi yang sedang dihadapinya.
“Doakan semoga ibu cik lembut hatinya satu hari nanti. Berkahwinlah bila tiba masanya. Bukan bermaksud kita tidak boleh lagi berbakti kepada orang tua setelah berkahwin.
“Dapatkan nasihat daripada pakar agama atau kaunselor, seeloknya bawa ibu sekali. Kadang-kadang orang tua mungkin beranggapan mereka tahu hukum, padahal sebenarnya tidak.
“Mungkin ibu tidak mahu kehilangan duit yang diberikan setiap bulan. Dia takut kesenangan itu akan hilang apabila awak mempunyai tanggungjawab lain,” demikian antara komen netizen.