Tak tahan hidup selalu kena buli, guru bahasa bunuh diri di jambatan. Seorang lelaki telah ditemui meninggal dunia di Jambatan Cimindi, Kecamatan Andir, di sini pada Jumaat lepas.
Menurut laporan dari portal Oh Bulan yang mengutip media Indonesia, mangsa dikatakan telah meninggalkan pesanan terakhir sebelum mengakhiri hidupnya dengan cara menggantung diri.
Melalui surat yang ditinggalkannya, mangsa yang juga seorang guru bahasa mengaku sering menjadi mangsa buli sejak kecil kerana penganut agama minoriti dalam komunitinya.
“Kawan-kawan sewaktu sekolah pernah memberikan minuman kepada saya; saya ingat itu air oren tetapi ternyata air kencing,” katanya dalam surat itu.
Mangsa akui dirinya berterusan dibuli ketika dia cuba mempertahankan agamanya yang dihina ramai. Meskipun begitu, mangsa mendedahkan terpaksa mendiamkan diri dan memilih untuk tidak bercerita kepada ibu bapanya kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
Namun siapa sangka, setelah sekian lama bersabar, mangsa akhirnya nekad untuk menamatkan riwayatnya. Mangsa sempat menulis di sekeping kadbod memaklumkan untuk dibawa ke sebuah hospital tempat ibu bapanya bekerja.
Menurut pihak berkuasa, hasil pemeriksaan awal mendapati tiada kesan jenayah ditemui pada mayat mangsa, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan.