Tak sia-sia datang program Madani, lelaki menang hadiah kereta. Pemenang utama cabutan bertuah Program Madani Rakyat 2024 di Kuala Selangor berhasrat untuk menghadiahkan kereta yang dimenangi kepada isterinya.
Pengurus kilang, Ahmad Zulkhairi Muhamad, 36, menyatakan rasa syukur yang amat mendalam atas rezeki yang diterimanya pada bulan Februari yang lalu. Beliau berharap dapat menggantikan kereta isterinya, Norsyafira Aisya Husain, yang sudah berusia hampir 10 tahun.
Ahmad Zulkhairi menerangkan bahawa isterinya yang bekerja di Kuala Selangor terpaksa berulang-alik kira-kira 100 kilometer dari kediaman mereka di Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Bharu, setiap hari.
“Dengan hadiah ini, isteri saya boleh menggunakan kereta baru ini kerana dia kini perlu berulang-alik dengan kereta yang sudah agak lama,” katanya.
“Sebelum ini, saya hanya imbas kod QR pada program itu, dan saya tidak pernah menjangkakan nama saya akan dipilih dalam cabutan bertuah ini. Seumur hidup saya, belum pernah saya menang hadiah cabutan bertuah walaupun hadiah kecil,” katanya ketika ditemui.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah hari ini.
Ahmad Zulkhairi berkongsi bahawa tujuan utama ke program tersebut adalah untuk melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara langsung. Namun, beliau tidak menjangkakan dapat bersalaman dengan Anwar apabila diumumkan sebagai pemenang hadiah utama.
“Bukan sahaja dapat bersalaman, malah PM bertanya asal saya dari mana. Ini benar-benar merupakan rezeki yang tidak disangka-sangka, bukan sahaja bertemu PM tetapi juga dapat ‘hadiah besar’,” katanya.
Program Madani Rakyat Zon Tengah yang berlangsung di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 23 hingga 25 Februari lalu diserikan dengan pelbagai acara menarik kepada pengunjung.
Program tersebut adalah kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang menjadi platform untuk masyarakat mendapatkan maklumat tentang 163 perkhidmatan kerajaan Persekutuan, negeri, dan agensi berkaitan.