Tak sempat nak bina, jambatan kereta api bernilai RM16 juta dicuri. Pegawai penguat kuasa undang-undang di Rusia sedang menyiasat kes kecurian sebuah jambatan kereta api logam yang besar di barat negara itu, lapor laman berita RT semalam.
Struktur jambatan tersebut dipercayai boleh dijual di kedai besi buruk pada harga lebih AS$15,000 (RM69,864).
Jambatan logam yang dianggarkan seberat sekurang-kurangnya 60 tan itu terletak di wilayah Ryazan, sekitar 200 kilometer tenggara Moscow.
Jambatan itu dilaporkan dianggarkan bernilai AS$3.5 juta (RM16.30 juta).
Kehilangan misteri jambatan tersebut pertama kali dilaporkan pada Rabu lalu oleh aktivis tempatan, Svetlana Konovalova.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu, jabatan polis tempatan mengesahkan bahawa mereka telah menerima aduan mengenai kehilangan struktur logam jambatan yang tidak berfungsi itu lebih seminggu lalu.
Polis menambah bahawa mereka telah membuka kertas siasatan jenayah berhubung kejadian tersebut.