“Tak mahu menjawab di sana”, Lelaki nekad mahu keluar daripada penerima bantuan Asnaf. Enam tahun yang lalu, dua beradik ini pernah berkongsi sepinggan nasi yang hanya dihidangkan dengan perencah mi segera kerana mereka mengalami kesempitan hidup. Mereka hanya mampu melanjutkan kehidupan mereka apabila dibantu oleh Baitulmal kira-kira setahun kemudian.
Kini, setelah keadaan mereka bertambah baik dan mempunyai pekerjaan tetap, Zaidtulakmar Norjali, 49 tahun, membuat keputusan untuk keluar daripada senarai penerima bantuan asnaf kerana yakin bahawa dia kini mampu untuk menyara diri sendiri dan keluarganya.
Mengingati kisah pada tahun 2018 itu, pemandu lori tersebut menceritakan bahawa dia terpaksa berhenti kerja kerana mengalami masalah sakit tulang belakang yang menyebabkan dia kehilangan sumber pendapatan.
“Pada masa itu, hanya anak bongsu saya yang berusia 14 tahun yang masih di bawah tanggungan saya, sedangkan isteri saya telah meninggal dunia pada awal tahun tersebut. Waktu saya tidak bekerja selama enam bulan itu sangat sukar bagi kami.”
“Ada masa di mana saya hanya mampu memberi anak makan nasi dengan perencah mi segera. Bekalan air dan elektrik rumah turut dipotong kerana saya tidak mampu membayar bil,” katanya ketika ditemui.
Beliau menambah lagi, nasib keluarganya sedikit berubah apabila kisahnya diperhatikan oleh Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan sumbangan serta membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya dengan Baitulmal.
“Sejak itu, saya menerima bantuan bulanan RM250 dan barangan keperluan. Alhamdulillah, pada tahun 2022, kesihatan saya semakin baik dan saya sudah mampu bekerja sebagai pemandu lori.
“Namun, pada masa yang sama, saya beberapa kali berhenti kerja kerana sakit tulang belakang menyerang kembali. Pada awal tahun ini, saya rasa sakit telah pulih sepenuhnya,” katanya.
Bercerita lanjut, bapa tunggal itu berkata, pada bulan Mac yang lepas, dia tergerak untuk keluar daripada status penerima bantuan asnaf kerana hanya menanggung dirinya sendiri manakala anak bongsu sudah bekerja.
“Dengan pendapatan sekarang dan hanya perlu membantu anak dari segi kewangan, saya rasa bertanggungjawab untuk keluar dari penerima bantuan asnaf.
“Saya tidak mahu menjawab ‘di sana’ (akhirat) nanti. Saya sudah mampu, namun masih menerima bantuan sedangkan masih ada yang betul-betul layak untuk mengisi tempat saya.
“Bagaimanapun, pada masa yang sama, saya masih bimbang kerana takut sakit tulang belakang menyerang kembali. Akhirnya, awal bulan lalu, saya menghubungi PCRS dan memberitahu keputusan saya untuk keluar daripada asnaf,” katanya.
Sementara itu, Penaung PCRS, Zulkifli Muhamed, berkata, keputusan Zaidtulakmar untuk keluar daripada asnaf selepas kehidupannya menjadi lebih stabil adalah sesuatu yang positif.
“Awal minggu lalu, Zaidtulakmar menghubungi saya dan memberitahu keinginannya untuk keluar daripada asnaf. Saya telah memberitahu Baitulmal sebelum mereka meminta saya untuk mengeluarkan satu surat sebagai bukti hitam-putih.
“Bagaimanapun, jika Zaidtulakmar diuji lagi selepas keluar daripada asnaf, Baitulmal meminta agar memberitahu mereka kerana akan ada bantuan lain sebagai sokongan awal.
“Ini boleh dijadikan contoh dan inspirasi bagi asnaf lain untuk berusaha meningkatkan taraf hidup mereka dan bukan hanya bergantung kepada bantuan.
“Bagi saya, Zaidtulakmar bersikap jujur kerana menghubungi saya sendiri untuk memberitahu bahawa kehidupannya semakin baik dan dia berniat untuk keluar daripada asnaf,” katanya.