Syarikat pengeluar mi segera henti pengeluaran serta-merta

Syarikat pengeluar mi segera henti pengeluaran serta-merta

Syarikat pengeluar mi segera henti pengeluaran serta-merta. Syarikat pengeluar mi segera di sini, Nam Seng Food Industries Sdn Bhd menghentikan serta-merta pengeluaran satu produk keluarannya yang didakwa mengandungi bahan menyebabkan kanser.

Jurucakap syarikat itu berkata, langkah pemberhentian pengeluaran produk berkenaan dibuat sejak kelmarin selepas mengetahui berita berhubung perkara terbabit.

Katanya, pihak syarikat memberi kerjasama dengan menyerahkan sampel produk mi segera terbabit untuk ujian di sebuah makmal swasta.

Syarikat pengeluar mi segera henti pengeluaran serta-merta

“Kira-kira jam 9 pagi tadi, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) datang ke kilang untuk mengambil sampel.
“Kami memberi kerjasama sepenuhnya untuk siasatan produk terbabit dan menunggu keputusan sampel yang dihantar semalam.
“Buat masa ini, pengeluaran produk lain berjalan seperti biasa namun untuk produk ini (mi segera yang didakwa mengandungi bahan menyebabkan kanser) pengeluarannya dihentikan serta-merta sehingga keputusan sampel diperoleh,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ditanya sama ada pihak syarikat akan menarik balik produk itu secara sukarela seperti disaran KKM, jurucakap terbabit berkata, perkara berkenaan akan dibincang bersama pihak pengurusan untuk tindakan lanjut.

“Untuk hal ini (tarik balik) mengambil sedikit masa kerana kami perlu berbincang dan ia membabitkan kos.

“Bagaimanapun, kita menunggu hasil keputusan sampel sebelum mengambil tindakan seterusnya.

“Kita tiada halangan bagi peniaga yang mahu menghentikan penjualan sementara atau menyerahkan kembali produk ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di hadapan kilang itu mendapati operasi berjalan seperti biasa dengan fokus pengeluaran produk lain seperti bihun dan kuetiau.

Tinjauan di beberapa premis borong dan pasar raya sekitar kilang itu mendapati tiada penjualan produk berkenaan ketika ini.

Kebanyakan yang berada di rak jualan adalah produk mi segera keluaran syarikat lain.

Agensi berita CNA kelmarin melaporkan, Jabatan Kesihatan Taipei mengesahkan dua jenama mi segera dari Asia Tenggara mengandungi bahan yang boleh mendorong kepada kanser.

Jabatan itu mendedahkan dua jenama mi segera dari Malaysia dan Indonesia itu mengandungi bahan etilena oksida iaitu sebatian kimia yang dikaitkan dengan limfoma dan leukemia.

Baca Lagi:
Vokalis XPDC Mael meninggal dunia
Rumah banglo Yusof Haslam kecoh selepas Ira Kazar datang beraya, sekali ini yang jadi
Haram Ibu bapa belanja guna duit raya anak, kecuali keadaan ‘terdesak’ tapi harus diganti semula
CATEGORIES