Suami tak pernah tinggal solat, lepas 12 tahun kahwin baru tahu suami ‘dua alam’. Seorang wanita tular di media sosial selepas dia membuat pendedahan mengenai hubungan sulit suaminya.
Hanya dikenali sebagai Lisa, wanita itu mendakwa suaminya menjalin hubungan songsang.
Pendedahan itu dibuat ketika dia menghubungi sebuah stesen radio swasta tempatan untuk berkongsi kisahnya.
“Selepas beberapa belas tahun berkahwin, barulah saya tahu suami saya sukakan lelaki. Kami sudah berkahwin lebih 12 tahun, hampir 13 tahun.
“Saya sudah menerima takdir itu, dan kami masih berkahwin (bersama). Saya juga mempunyai anak,” ujarnya.
Di sebalik kecurangan itu, Lisa berkata suaminya adalah seorang yang bertanggungjawab dan tidak pernah meninggalkan solat.
“Jadi, hingga sekarang suami saya semakin berubah, semakin bertanggungjawab, semakin baik, tetapi dia mempunyai dua sisi: satu dengan saya dan satu lagi dengan lelaki itu.
“Dia masih bertanggungjawab, solat lima waktu, cuma ada sisi gelap pada dirinya,” ceritanya lagi.
Mengimbas fasa awal ujian rumah tangganya, Lisa berkata dia mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena kerana keakraban luar biasa suaminya dengan lelaki tersebut.
Namun kata Lisa, dia kini telah reda dengan apa yang berlaku dan menganggapnya sebagai ujian Allah untuk menguji keimanannya.
“Suami saya bukanlah seseorang yang mempunyai kawan rapat, tetapi apabila dia berkawan rapat, situasinya sangat berbeza. Pada awalnya, ketika saya mengetahui perkara ini, kami bergaduh hampir setiap hari.
“Saya sudah melepasi fasa itu, malah saya telah mendapatkan kaunselor. Kami beberapa kali mahu bercerai tetapi Allah menghalang. Saya rasa mungkin itulah cara Allah untuk mendekatkan saya kembali dengan dia.
“Tapi dalam masa yang sama, mungkin inilah jalan yang Allah berikan kepada saya, dan saya terima keadaan ini. Cuma saya tidak tahu sampai bila saya perlu berada dalam keadaan ini,” ujarnya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen turut bersimpati terhadap wanita itu dan berharap dia terus tabah meneruskan kehidupannya.
“Suami masih solat tetapi ada hubungan sesama jenis. Confuse jap.
“Kalau boleh saya nasihat, pergilah kak. Tinggalkan dia. Takut akak dapat penyakit bahaya.
“Kenapa banyak kes macam ni sekarang? Risaunya. Bahaya untuk isteri,” tulis netizen.