Suami saksi detik ngeri isteri maut dalam insiden lif terhempas. Seorang wanita berusia 45 tahun maut selepas lif yang dinaikinya di sebuah bangunan tiba-tiba terhempas.
Apa yang lebih menyedihkan, insiden tragis tersebut disaksikan sendiri oleh suami mangsa yang bekerja sebagai penjaga bangunan, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Adriana Maria de Jesus, sedang melawat keluarga majikannya di bangunan yang terletak di Sao Paulo, Brazil, dengan menaiki lif dari tingkat lima.
Rakaman CCTV menunjukkan bahawa pada awalnya, lif itu berfungsi dengan baik ketika naik, tetapi ketika turun ke tingkat dua, ia mengalami kerosakan dan terjunam.
Mangsa dilihat mengangkat tangannya ke udara dalam keadaan panik sebelum hilang dalam kepulan asap dan serpihan.
“Saya melihat skrin monitor dan semuanya normal. Namun, apabila lif itu turun, saya berasa ngeri. Hati saya hancur. Saya perlu mencari kekuatan untuk bekerja dan meneruskan kehidupan,” kata suami mangsa, Gildelio Alves do Santos.
Difahamkan, mangsa dikejarkan ke hospital dengan beberapa kecederaan, tetapi malangnya, dia meninggal dunia seminggu kemudian.
Sementara itu, dua lelaki yang turut menaiki lif tersebut bersama mangsa bagaimanapun terselamat dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di hospital.
Siasatan lanjut terhadap tragedi ini masih dijalankan.