Suami isteri terkejut dapat durian runtuh jumpa sampah bernilai RM2.17 juta. Suami isteri dari Stourbridge, England, telah mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka apabila mereka menemui sebuah bungkusan plastik sampah yang mengandungi koleksi terhad mainan Star Wars yang bernilai 400,000 Pound Sterling (sekitar RM2.17 juta).
AFP mengutip laporan dari akhbar Times, yang menyatakan bahawa koleksi mainan tersebut telah dibuang oleh jiran mereka.
Pada mulanya, pasangan tersebut tidak tahu apa yang sepatutnya dilakukan dengan barang-barang tersebut.
Namun, anak lelaki mereka menghubungi seorang pelelong dan mendapati bahawa koleksi mainan itu, termasuk figurin-figurin yang masih dalam keadaan baik, masih terdapat di dalam bungkusan asalnya.
“Sebahagian daripadanya dalam keadaan lembap mungkin kerana cara ia disimpan, namun ini adalah koleksi Star Wars terbaik yang pernah saya lihat,” kata pelelong berkenaan, Chris Aston.
“Malah, kami mempunyai bilangan penggemar dan pengumpul yang ramai dari seluruh dunia dan berharap urusan jual beli berjalan dengan lancar,” tambahnya.
Menurut Aston, dia tidak pasti sama ada pasangan suami isteri tersebut teruja atau sebaliknya dengan penemuan tersebut.
“Saya tidak tahu sama ada mereka mempunyai perancangan atau sebaliknya, tetapi penemuan ini ibarat mereka baru sahaja menang loteri,” katanya.
Antara koleksi yang ditemui adalah figura Star Destoyer Commander yang dianggarkan bernilai 32,500 Pound Sterling (kira-kira RM176,542).
Selain itu, turut terdapat koleksi terhad Palitoy Jawa yang bernilai 27,280 Pound Sterling (kira-kira RM148,187) dan dipercayai hanya terdapat 10 unit sahaja di pasaran.
Antara item lain yang ditemui adalah satu set lapan figura Return of the Jedi yang dibeli pada harga 1.59 Pound Sterling (kira-kira RM8.60) pada tahun 1980-an, namun nilai pasaran kini mencecah 1,400 Pound Sterling (kira-kira RM7,605).