
Suami isteri cari cengkerang terkejut jumpa bungkusan 800kg kokain di pantai
Suami isteri cari cengkerang terkejut jumpa bungkusan 800kg kokain di pantai. Sepasang suami isteri yang sedang mencari cengkerang dan hasil laut terkejut apabila menemukan beberapa bungkusan mengandungi sejumlah besar dadah yang terdampar di tepi pantai di Reville, Normandy di Perancis.
Lapor Metro.co.uk, pasangan itu menemukan bungkusan tersebut ketika mereka sedang berjalan-jalan di pantai berkenaan pada 26 Februari lalu.
Mereka kemudian segera menghubungi polis dan hasil siasatan mendapati bungkusan itu mengandungi 800 kilogram (kg) kokain.
Dadah seberat 800 kg dianggarkan mempunyai nilai pasaran kira-kira 53.3 juta Pound (RM284 juta).
Dilaporkan, bungkusan itu terapung di laut dengan kanister dan jaket keselamatan serta diikat bersama dengan tali.
Malah, bungkusan itu dikatakan terdampar di pantai semasa air surut dari Selat Inggeris.
Dalam pada itu, pasangan itu memberitahu apabila setiap kali ribut melanda, banyak barang yang dihanyutkan ke pantai.
“Kami biasa datang ke sini untuk mengumpul cengkerang tetapi kali ini menemukan kokain.
“Bot sentiasa melalui pantai ini dan saya syaki ada ramai pengedar,” jelas mereka.
Sementara itu, polis Perancis memaklumkan pihaknya sudah melancarkan siasatan secara `teknikal dan saintifik’ termasuk mengesan asid deoksiribonukleik (DNA) pada bungkusan yang ditemukan itu.