Suami dibunuh kejam gara-gara isteri kerap buat ‘content’ tayang rumah mewah. Sebuah keluarga di Bogor, Jawa Barat, Indonesia berdepan kejadian ngeri apabila kediaman mereka dirompak, setelah kerap memuat naik hantaran di TikTok yang menunjukkan bahagian dalaman rumah.
Lebih memilukan, perbuatan yang mengundang penjenayah itu mengorbankan ketua keluarga rumah itu, lapor Tribun News.
Polis memberitahu: “Isteri pemilik rumah berkenaan aktif berkongsi kandungan mengenai pembinaan rumah mewah mereka sehingga siap, termasuk menunjukkan ruang dalaman.”
Kandungan video itu sering dibuat berdasarkan maklum balas dan pertanyaan pengikut akaun media sosialnya. Banyak daripada video tentang isi rumahnya juga menjadi tular kerana mendapat perhatian umum sejak Jun lalu.
Video yang dibuat biasanya menunjukkan setiap bahagian ruangan utama di rumah itu, termasuk ruang tamu, dapur, dan bilik tidur.
Dalam kejadian rompakan yang berlaku pada awal pagi Rabu (18 September) itu, suami wanita berkenaan ditemui mati di dalam kereta dengan kesan cedera di kepala dan lehernya dijerut dengan kain. Wanita itu bersama anak dan ibunya yang tinggal bersamanya di rumah tersebut mengalami kecederaan akibat dikasari perompak.
“Kami menangani setiap mangsa dengan cepat dan sesuai dengan standard perubatan yang ada,” ujar Heti, Pegawai Perhubungan Rumah Sakit Umum Leuwiliang, seperti yang dipetik dalam keterangan media pada 21 September.
Polis dilaporkan sudah menahan empat lelaki yang dipercayai sebagai suspek jenayah berkenaan.