“Suami aku kemurungan selepas kena goda dengan rakan sekerja dalam kereta”

Photo of author

By Joe

“Suami aku kemurungan selepas kena goda dengan rakan sekerja dalam kereta”. Aku Mawar dan perkahwinan aku dan suami telah lebih dari 10 tahun. Kehidupan perkahwinan kami sangat bahagia. Dikurniakan seorang anak perempuan yang comel dan cerdas. Kami juga boleh dikatakan golongan yang mampu, tidaklah kaya tapi tidak susah. Makanan dan pakaian semua mencukupi. Aku dan suami masing-masing ada kerjaya.

Suami sangat baik juga kepada kedua orang tua aku. Setiap kali bercuti ke mana-mana, suami pasti akan mengajak ayah dan ibu aku. Suami juga memberi wang belanja untuk kedua orang tua aku. Dengan kedua orang tuanya pun suami begitu.

Aku sangat bahagia. Suatu hari, suami meminta aku balik tengah hari (waktu rehat) ke rumah. Kami jarang pulang ke rumah waktu rehat, masing-masing makan tengah hari di luar. Aku pelik mulanya, kenapa suami suruh balik rumah. Aku cemas dan segera pulang.

"Suami aku kemurungan selepas kena goda dengan rakan sekerja dalam kereta"

Aku fikir suami aku sakit. Sampai di rumah, suami menangis dan meminta maaf. Dia menangis seperti anak kecil. Tidak pernah aku melihat suami aku menangis seperti itu. Aku tanyakan kenapa, dia kata jika dia beritahu aku, aku akan marah dan tidak akan maafkan dia. Aku tidak sedap hati dan terus mendesak.

Suami beritahu dia curang dengan rakan sekerja tapi berlainan jabatan. Hati aku luluh, aku juga menangis sepuasnya. Suami beritahu perempuan itu nak jumpa aku. Aku ok, aku akan berjumpa dengannya terus pada petang itu.

Dengan keadaan emosi yang masih stabil, aku memang ingin berjumpa. Sebelum kejadian, suami memang selalu cakap ada benda nak beritahu aku. Tapi selalu tak jadi. Suami 2 minggu sebelum itu, memang seperti kemurungan. Memang sebagai seorang isteri yang taat dan baik, aku sedar perubahan itu.

Bila aku tanya, dia beritahu ada hal kerja yang buat dia sedih. Dia memang seorang suami yang baik, memahami aku, mendengar luahan dan tidak pernah mengongkong. Aku juga jenis selalu bercuti bersama kawan-kawan, tetapi suami izinkan.

Aku sebagai seorang isteri juga begitu, tidak pernah menyekat hobi suami. Suami aku suka bersukan, bermain futsal. Ada 2 hingga 3 hari seminggu dia keluar malam bermain futsal atau badminton bersama kawan-kawan.

Aku tak kisah, sebab aku faham masing-masing sudah memberi kepercayaan. Petang itu juga suami bawa aku jumpa perempuan itu. Perempuan itu juga isteri orang. Perempuan itu cakap, suami aku yang menginginkannya.
Mereka pernah buat perbuatan terlarang untuk suka-suka. Mengucap panjang aku, tetapi aku kuat, aku tidak akan menangis di depan perempuan celaka itu. Aku memang marah kepada perempuan itu. Semua perkataan kasar aku lemparkan. Tapi perempuan itu sedikit pun tidak terkesan. Suami hanya diam.

Dia juga mungkin terkejut dengan perkataan yang aku berikan kepada perempuan itu. Aku jarang begitu. Aku memang wanita yang lembut, tetapi di depan perempuan itu, aku seperti orang lain. Aku memarahi semua perkataan yang buruk keluar dari mulut aku.

Selepas aku melemparkan kata-kata kasar, aku suruh perempuan itu keluar dari kereta suami. Aku dan suami berjumpa di tempat letak kereta untuk bertemu perempuan itu. Aku yang suruh perempuan itu masuk kereta suami. Aku tak nak orang nampak kami.

Perempuan itu tanpa segan silu masih cuba berhubung dengan aku dengan meminta nombor telefon aku. Sungguh tidak tahu malu. Suami juga marah dengan perempuan itu dan menyuruhnya keluar. Barulah perempuan itu keluar tanpa rasa bersalah.

Petang itu juga, aku beritahu suami aku tak nak balik rumah. Aku menangis sepuasnya dalam kereta suami. Aku menangis seperti orang hilang akal. Aku menjerit seperti orang histeria. Suami yang memandu di sebelah aku juga menangis semahunya.

Dia meminta maaf berkali-kali. Aku dan suami terus mohon cuti untuk petang itu. Kami di dalam kereta tanpa arah tujuan. Dengan aku yang seperti orang gila menangis semahunya. Malam itu, aku dan suami berbincang. Suami dengan kesal meminta maaf pada aku.

Dia beritahu aku memang kesilapan itu darinya. Dia tak ada hati pun pada perempuan itu. Perempuan itu seperti memerangkapnya. Suami ceritakan pada malam kejadian, suami bermain futsal seperti biasa. Perempuan itu minta tolong untuk tengokkan kereta dia.

Suami aku yang kenal perempuan itu kerana pernah berhubung melalui mesej tentang kerja sebelum ini, sanggup menolong dan kereta perempuan itu diletakkan di sebelah kereta suami. Kemudian semasa suami ingin mengambil barang di bonet keretanya, perempuan gila tersebut telah duduk di tempat duduk penumpang di kereta suami.

Suami terkejut dan perempuan itu telah menangis. Melihat perempuan itu menangis, suami jadi risau dan masuk duduk juga dalam kereta sebelah perempuan itu. Terus perempuan gila itu menggodanya. Suami benar-benar minta maaf pada aku, dia beritahu dia manusia biasa masa itu. Jadi, terjadilah perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Selepas kejadian itu suami berasa sangat menyesal dan bersalah. Perempuan itu psiko gila, kata suami aku. Selepas kejadian malam itu, perempuan itu mengugut suami aku jika tidak melayan mesej dan video call dia mengugut akan beritahu aku.

Dia mengugut akan ke pejabat untuk terus berjumpa suami aku. Dia mengugut akan ke tempat kerja aku juga. Suami menjadi murung selepas peristiwa itu. Perkara itu hanya berlaku sekali sahaja. Dan suami sangat takut akan ugutan itu terpaksa melayan dia mesej dan video call.

Ugutan terakhir dia nak jumpa suami di hotel, kalau suami tak setuju dia akan ke rumah kami dan bertemu dengan aku. Suami yang sudah tidak tahan lagi dengan ugutan tersebut pada hari itu terus memberitahu aku. Dia sudah tidak takut lagi dengan ugutan perempuan itu.

Untuk ke hotel dengan perempuan itu memang dia tak akan buat. Cukup sekali itu yang membuat dia sangat-sangat menyesal dan berdosa pada aku dan anak kami. Perempuan itu memang akan membuat aku dan suami berpisah.

Dia akan buat suami aku menyesal kerana tidak dapat melayan kehendaknya. Perempuan itu memang psiko gila. Suami perempuan itu memang tak tahu pun perempuan tersebut begitu. Dia pernah memberitahu aku dia tak kisah jika suaminya tahu.

Dia memang perempuan gila. Ugutan demi ugutan membuat suami aku murung. Sebelum ini, suami tiada kekuatan untuk memberitahu aku. Patut la setiap kali kami berSMS, dia akan beritahu ada perkara dia akan beritahu aku. Entah berapa kali suami berSMS begitu.

Entah apa salah dan dosa kami terjebak dengannya. Suami menceritakan pada aku dengan penuh kekesalan. Aku kebetulan datang bulan, jadi aku tidak dapat solat. Di rumah aku hanya baring dan menangis. Aku tidak dapat tidur dan makan. Padahal aku paling suka makan.

Suami sangat sedih dan bersalah melihat aku begitu. Dia memujuk aku berkali-kali untuk makan. Hilang terus selera makan aku. Hal anak semua suami yang uruskan. Dia beritahu anak kami jangan ganggu ibu, ibu masih sakit. Dalam solatnya, aku dengar suami menangis tersedu-sedu.

Aku dan suami masing-masing mengambil cuti rehat untuk beberapa hari. Suami meminta maaf padaku berkali-kali. Aku hanya diam membisu. Dua hari selepas peristiwa itu, suami mengemas barangnya. Dia memberitahuku bahawa dia akan pergi dari rumah kami. Dia juga mengatakan padaku bahawa dia faham jika aku jijik padanya.

Kesalahan yang dia lakukan, aku tahu tidak akan dapat memaafkannya. Dia menerima hukumannya. Dia juga malu untuk terus memohon maaf dariku. Dia merasa dia tidak layak untuk mendapatkan kemaafan dariku. Apa yang patut aku lakukan?

Tolong beritahu aku, hatiku memang sakit, tetapi aku masih menyayangi suamiku. Aku takut kehilangannya. Tetapi peristiwa tersebut selalu muncul dalam fikiranku. Aku sukar untuk melupakannya. Apa yang harus aku lakukan? Tolong. – Mawar (Bukan nama sebenar)

Komen Warganet:

Nurul Huda Daud: Nak cakap satu je kat puan. Dengar boleh.. percaya 100% jangan. Takde yang jadi kalau kedua belah tangan tak bertepuk. Kalau saya kat tempat puan.. saya halang suami saya dulu.. baru saya halang perempuan tu.

Jangan kerana baiknya suami kita dalam bab lain, bab curang pun dia baik tak buat. Bukan menghasut.. Cuma nak pesan… dengar boleh percaya jangan. Kalau dah pernah buat curang.. kena extra careful lepas ni. Moga dipermudahkan urusan puan dan keluarga.

Shayna: Rasanya suami tu memang betul-betul menyesal. Benda pun jadi sekali je. Ada je peluang untuk jadi banyak kali tapi suami insaf dengan cepat. Alhamdulillah.. Memang sakitlah sebab benda baru tahu. Awak perlukan masa untuk bertenang dan berfikir dengan waras. Bagitaulah suami u need more time before making any decision. He will understand insyaAllah. Moga Allah permudahkan urusan kamu berdua. All the best.

Baca Lagi:
Wanita berasal dari Miri hilang selepas hantar kereta sewa di Tanjung Malim
Wanita saman syarikat sebab bayar gaji penuh selama 20 tahun tanpa beri kerja
Boleh ke ambil anak angkat berbeza agama?, ini hukumnya