STR Fasa 3: 8 juta rakyat Malaysia bakal terima bantuan pada 29 Ogos 2024. Kerajaan akan menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 kepada lebih 8 juta penerima bermula 29 Ogos ini.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa jumlah itu melibatkan penerima sedia ada, manakala penerima baharu atau yang membuat rayuan pula akan menerima STR mulai 18 September.
Katanya, setiap penerima akan menerima bantuan tunai sehingga RM650 mengikut kategori masing-masing.
“Penerima sedia ada serta penerima baharu atau yang membuat rayuan yang berdaftar dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 3 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat,” tambahnya.
Oleh itu, MOF ingin menasihati penerima STR untuk sentiasa berwaspada terhadap pautan yang tidak sahih daripada pihak tidak bertanggungjawab yang mungkin cuba mendapatkan maklumat berkaitan program STR.
“Sebagai langkah perlindungan daripada kes penipuan (scam), pihak MOF tidak akan menghantar SMS atau mesej WhatsApp meminta maklumat peribadi daripada individu,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut mengenai STR, MOF memaklumkan bahawa melalui Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa peruntukan STR telah berjaya ditingkatkan sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus, daripada RM8 bilion pada tahun lalu kepada RM10 bilion, yang memanfaatkan hampir 60 peratus penduduk dewasa di negara ini.
“Penambahan peruntukan bagi STR 2024 mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk membantu meringankan cabaran kos sara hidup rakyat, terutama bagi keluarga dalam kategori B40 dan M40 yang paling rendah.
“Penambahbaikan STR 2024 adalah sejajar dengan pendekatan Kerajaan MADANI untuk menumpukan sumber kewangan negara kepada rakyat yang memerlukan bantuan.
“InsyaAllah, dengan penambahbaikan dalam pengurusan kewangan dan tatakelola, Kerajaan akan mampu memberikan lebih banyak bantuan pada masa depan kepada golongan yang ramai serta rentan agar tiada rakyat yang tercicir,” katanya seperti dilaporkan.
Dalam pada itu, MOF memaklumkan bahawa pada tahun ini, kerajaan turut mengambil pendekatan baharu dengan membuka pendaftaran STR sepanjang tahun untuk memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan Kerajaan.
“Oleh itu, bilangan penerima yang layak dijangka akan terus meningkat pada tahun ini, mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding hanya setahun sekali sebelum ini.
“Jika nama pemohon tidak terdapat dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan supaya proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dapat dimuktamadkan,” katanya.