Stesen kereta api berusia lebih 100 tahun di Melaka ditemui semula

Photo of author

By Joe

Stesen kereta api berusia lebih 100 tahun di Melaka ditemui semula. Walaupun beribu tahun berlalu, banyak tinggalan sejarah masih boleh dijejaki, terutama bangunan-bangunan yang tidak pernah dirobohkan dan digantikan dengan pembangunan lain.

Setelah berkhidmat selama lebih 100 tahun, sebuah stesen kereta api lama telah ditemui semula selepas 10 tahun perkhidmatannya dihentikan.

Ikuti perkongsian yang ditulis oleh Pengerusi dan Penyelidik Persatuan Kartografi Melaka, Shahrul Azzim Abd Aziz.

Stesen kereta api berusia lebih 100 tahun di Melaka ditemui semula

Baru-baru ini, pasukan penyelidik dari projek Railway Cartographic Research Project (RailCREP), Persatuan Kartografi Melaka, telah menjejaki sebuah lokasi bersejarah yang merupakan sebahagian daripada lipatan sejarah kereta api lama tanah air, iaitu Stesen Keretapi Lama Batang Melaka.

Eksplorasi yang dihadiri oleh saudara Shahrul Azzim Abd Aziz (Encik Kartografi) dan saudara Mohd Faizal Khusairy Razali (Jejaka Kartografi) bertujuan untuk mengangkat semula dan berkongsi dengan orang ramai tentang sejarah stesen keretapi lama tersebut. Dahulu, stesen ini merupakan salah satu stesen yang tidak pernah sunyi, sentiasa menerima para penumpang yang menggunakan perkhidmatan kereta api untuk ke pelbagai destinasi.

Stesen kereta api berusia lebih 100 tahun di Melaka ditemui semula

Berdasarkan sejarah, Stesen Keretapi Lama Batang Melaka telah dibuka pada awal tahun 1900-an (1906) dan berkemungkinan terdapat beberapa struktur asal yang dibina sekitar tahun tersebut masih wujud hingga ke hari ini.

Bangunan stesen lama yang dapat dilihat hari ini mungkin merupakan bangunan yang telah dibina semula dan dinaik taraf untuk menggantikan bangunan asal yang difahamkan menggunakan kayu.

Stesen kereta api berusia lebih 100 tahun di Melaka ditemui semula

Namun pada tahun 2012, Stesen Keretapi Lama Batang Melaka telah ditutup dan diberhentikan perkhidmatannya lalu diganti dengan Stesen Keretapi Batang Melaka yang baharu pada tahun 2014 yang terletak di dalam sempadan negeri Melaka (Daerah Jasin).

Untuk makluman, Stesen Keretapi Lama Batang Melaka terletak dalam sempadan Negeri Sembilan (Daerah Tampin). Ini kerana Batang Melaka merupakan sebuah pekan yang terletak di sempadan antara dua negeri, iaitu Melaka dan Negeri Sembilan.

Terdapat beberapa struktur yang masih kukuh berdiri walaupun sebahagian daripadanya telah mula dimamah dan ditenggelami oleh semak-samun. Antara yang masih dapat dilihat ialah bangunan stesen, kaunter, pondok menunggu untuk penumpang, tangga menuju ke bangunan stesen, platform, bilik kecil yang kelihatan seperti stor, dan juga sebuah papan tanda lama yang menunjukkan lokasi stesen tersebut, iaitu Batang Melaka.

Berdasarkan papan tanda lama tersebut, dapat dilihat bahawa stesen-stesen yang berhampiran dengan Stesen Keretapi Batang Melaka ialah Stesen Keretapi Tebong (di dalam negeri Melaka) dan Stesen Keretapi Air Kuning (di dalam Negeri Sembilan). Kedua-dua stesen berhampiran Stesen Keretapi Lama Batang Melaka ini juga telah menghentikan perkhidmatan mereka.

Diharapkan pada suatu hari nanti, akan ada usaha yang dirancang dan dilaksanakan untuk memulihara semula Stesen Keretapi Lama Batang Melaka agar tidak terus dimamah usia dan dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang.

Stesen Keretapi Lama Batang Melaka juga berpotensi menjadi lokasi pelancongan sejarah yang menarik dan dapat membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Baca Lagi:
Apa dah jadi dengan Rantau Panjang Kelantan?, sedih tengok
Pekerja tak perlu datang kerja jika rasa tidak gembira, boleh ambil cuti khas
Tasik Pedu kering-kontang hingga timbul semula perkampungan lama