SPRM beku aset, akaun bank Rohana Rozhan bekas CEO Astro

SPRM beku aset, akaun bank Rohana Rozhan bekas CEO Astro

SPRM beku aset, akaun bank Rohana Rozhan bekas CEO Astro. Aset dan akaun bank milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia berikutan siasatan oleh agensi berkenaan selepas bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner mendakwa diperas ugut dalam pembelian sebuah rumah di London menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sumber SPRM memaklumkan perintah pembekuan dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA 2001).

“Perintah pembekuan itu sekali gus melarang Rohana daripada melakukan sebarang transaksi membabitkan rumah dan akaun bank miliknya di United Kingdom (UK).

“Tindakan itu selepas SPRM memulakan siasatan terhadap dakwaan Leissner yang mendakwa diugut untuk membelikan sebuah rumah bernilai AS$10 juta (RM42 juta) di London,” kata sumber SPRM.

Terdahulu, media melaporkan SPRM mengambil keterangan Rohana di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, kelmarin dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) AMLA 2001.

Rohana dalam kenyataan media, semalam melalui firma guaman Valen, Oh & Partners, mengesahkan hadir ke pejabat SPRM.

Bloomberg sebelum ini melaporkan, Leissner dalam keterangannya mendakwa, seorang CEO organisasi media yang mempunyai hubungan sulit dengannya, memeras ugut untuk dibelikan rumah bernilai AS$10 juta dan nama Rohana antara yang disebut.

Beliau mengeluarkan dakwaan itu ketika memberikan keterangan di mahkamah New York awal minggu ini dalam perbicaraan kes rasuah bekas rakan sekerjanya Roger Ng berkait 1MDB.

Leissner dalam keterangannya berkata, hubungan berkenaan bermula pada 2003 hingga 2013. Dia mendakwa pernah membelikan Rohana rumah di London pada 2013 selepas diugut untuk didedahkan pembabitannya dalam skandal 1MDB.

Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang haram.

Baca Lagi:

Volodymyr Zelensky: Daripada seorang pelakon komedi kini menjadi ‘Presiden Perang’

Uncle Roger, pelawak kelahiran Malaysia dikecam permainkan isu Rusia-Ukraine

Tular video lelaki Ukraine ucap selamat tinggal kepada anak undang rasa  

CATEGORIES
TAGS