Siti Kasim tidak goyah walaupun berdepan ancaman bom, percaya cara dijemput ajal sudah tertulis. Aktivis sosial, Siti Zabedah Kasim tidak goyah walaupun berdepan ancaman bom di bahagian tayar kereta yang mungkin boleh meragut nyawa, sebaliknya tetap meneruskan kehidupan seperti biasa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam itu yang lebih dikenali sebagai Siti Kasim berkata, dia tidak terlalu memikirkan soal ancaman yang dikesan Jumaat lalu.
Katanya, dia percaya semua orang akan mati selain menyifatkan cara seseorang dijemput ajal juga sudah tertulis.
“Saya tidak tahu (mahu cakap), kehidupan saya seperti biasa. Saya perlu sewa kereta sebab kereta saya tidak sempat selenggara.
“Saya rasa kehidupan saya tetap terus seperti biasa, tidak (cenderung untuk) upah pengawal peribadi. Saya rasa macam biasa, mahu fikirkan sangat (ancaman bom) bodohlah kan,” katanya.
Ditanya sama ada ancaman itu mematahkan semangatnya sebagai aktivis, Siti Kasim berkata, ia tidak sama sekali kerana percaya tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Setakat yang saya fikirkan, apa yang saya buat selama ini bukan perkara memudaratkan. (Tetapi) semua orang mati, (jika) sudah tertulis saya mati dengan cara dibunuh orang, mahu buat macam mana, hidup perlu diteruskan,” katanya.
Jumaat lalu, media sosial kecoh selepas Siti Kasim mendakwa terdapat objek mencurigakan yang didakwa ‘bom’ diletakkan pada kereta miliknya di Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur.
Aktivis sosial itu menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya itu ke pusat servis di lokasi terbabit pada pukul 12 tengah hari.
Susulan itu, polis mengesahkan objek mencurigakan yang ditemukan di bahagian bawah kereta aktivis dan peguam itu adalah bahan letupan termampat (IED).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, polis kini sedang giat mengesan suspek melalui cap jari dan bukti lain yang berkaitan.
Katanya, ini kerana penemuan objek bom itu adalah satu jenayah serius kerana boleh dianggap sebagai cubaan membunuh.