Sistem RFID kurang sesuai, bakal dimansuhkan?

Photo of author

By Joe

Sistem RFID kurang sesuai, bakal dimansuhkan? Sistem RFID yang digunakan di negara ini dianggap tidak sesuai bagi pembayaran tol secara elektronik menyeluruh di negara ini.

Penganalisis industri automotif, Hezeri Samsuri, berkata di sebalik bersetuju dengan pembayaran tol secara elektronik secara sepenuhnya, kerajaan seolah-olah enggan memperkatakan dua isu penting.

Katanya, ia membabitkan ketidaksesuaian sistem RFID dan perbezaannya berbanding sistem digunakan di negara lain.

Katanya, sistem RFID yang digunakan di negara lain membabitkan sistem ‘Multi Lane Free Flow’ iaitu tol tanpa palang yang membolehkan aliran trafik secara terus.

Sistem RFID kurang sesuai, bakal dimansuhkan?

“Kita perlukan sistem RFID yang mampu menghantar data ke alat pembaca atau reader.
“Sistem sedia ada jika ‘reader’ terlalu kuat, ia akan turut membaca tag RFID kenderaan di belakang,” katanya kepada BH, hari ini.

Hezeri berkata, kaedah digunakan di negara ini adalah sistem Touch n Go (TnG) prabayar.

Penggunaan sistem berkenaan, katanya, turut menyaksikan ramai pengguna tidak mempunyai baki mencukupi dalam kad masing-masing.

Beliau berkata, keadaan itu merunsingkan pengendali lebuh raya kerana tiada cara mengutip wang baki yang tidak cukup berkenaan.

“Tiada akta yang membolehkan operator lebuh raya menghantar surat tuntut hutang dan jika tidak dibayar, tidak ada undang-undang khusus untuk mengambil tindakan.

“Atas sebab tu, kita nampak dalam kes pengguna culas bayar tol, operator lebuh raya kena turun dan tahan sendiri tepi palang,” katanya.

Hezeri berkata, ketika ini banyak kawasan perumahan termasuk kondominium dan bangunan pejabat menggunakan sistem RFID untuk keluar masuk ke ruang parkir.

Katanya, timbul masalah apabila kenderaan penduduk juga dilengkapi dengan sistem RFID yang digunakan untuk pembayaran tol.

Pemerhati bidang permotoran, Harris Iskandar Taib, berkata tiada alasan berlaku kesesakan kerana kebanyakan plaza tol seharusnya dilengkapi sistem yang menerima bayaran secara tunai, RFID, SmartTAG dan TnG.

Beliau berkata, kesesakan di plaza tol kerap berlaku di kawasan tertentu yang mempunyai bilangan trafik tinggi, pada waktu puncak dan ketika musim perayaan atau cuti umum.

“Selalunya pada masa lain jarang ada kesesakan. Kita tidak boleh membandingkan atau melihat negara seperti United Kingdom dan Singapura kerana bilangan trafik kita berbeza, malah mungkin lebih tinggi.

“Keadaannya tidak sama contohnya reka bentuk jalan, trafik pada waktu puncak, harga tol, pengangkutan awam, tingkah laku pemandu, penalti bagi kesalahan trafik serta faktor lain,” katanya.

Harris berkata, kesesakan di plaza tol harus ditangani dengan yang dinamik manakala semua laluan tol seharusnya dibuka pada setiap masa.

Katanya, penutupan atau kerja menaik taraf sepatutnya hanya dijalankan pada waktu malam ketika laluan tidak sibuk.

Tegasnya, kesesakan di plaza tol bukan hanya disebabkan oleh cara pembayaran tetapi disumbangkan faktor lain seperti kesesakan selepas plaza tol akibat reka bentuk jalan atau bilangan kenderaan yang terlalu banyak.

“Contohnya plaza tol ada lapan lorong tetapi selepas pembayaran laluan terus mengecil kepada dua lorong.

“Kesesakan turut didorong sikap pemandu seperti silap masuk lorong, memotong barisan, tidak cukup kredit untuk pembayaran, dan lain faktor.

“Kebelakangan ini ada pemandu dikesan mencuri peluang untuk tidak membayar tol dan jika ini berlarutan, sistem pembayaran secanggih mana pun tidak akan menawarkan penyelesaian.

“Penggunaan sistem RFID sahaja tidak menawarkan penyelesaian terbaik dan menyeluruh kerana ia mengehadkan satu pelekat RFID untuk satu kereta.

“Ia berbeza dengan TnG yang diguna pakai untuk pelbagai transaksi seperti parkir kenderaan manakala kad itu boleh digunakan untuk mana-mana kenderaan,” katanya.

Baca Lagi:
Cuti sekolah dah dekat! Netizen kongsi tempat menarik bawa anak berjalan, kos tak sampai RM100 pun
Amalan penjaga kebun suka bersedekah membuka mata lelaki ini..
Dari RM500 kini jadi RM9k, wanita umur 19 tahun kongsi cara buat income mampu ubah hidup keluarga