Siapakah sebenarnya Allahyarham Tan Sri’ P. RAMLEE? Tiap-tiap penonton ketawa terkekeh-kekeh dan rasa puas apabila mereka menonton lakonan seniman agung P. Ramlee.
Tetapi tiada seorang pun yang mengetahui yang seniman itu mengalami ‘derita jiwa’ sebelum meninggal dunia.
“I banyak dosa, I derita, I harap I sempat taubat sebelum I mati…” kata Allahyarham P. Ramlee kepada saya kira-kira tujuh bulan sebelum dia meninggal dunia.
“Kalau ikut rasa nak tinggalkan dunia filem ni, tapi kerana nak cari makan, I terpaksa teruskan juga…” katanya lagi.
Dia termenung sejenak dan merenung muka saya dan berkata dengan suara merendah, ” I dengan you seguru, kan kita sama-sama belajar pada Syeikh tu?”
Seniman agung itu menjadi teman saya yang rapat kerana tiga sebab, iaitu pertama kami belajar agama pada satu guru, kedua saya menjadi penulis surat khabarnya iaitu ‘Gelanggang Filem’ dan ketiga kami menjadi rakan karib Sultan Perak Almarhum Sultan Idris Shah.
Sebelum berpindah ke Singapura, P. Ramlee sempat belajar ilmu Tauhid dan kesufian daripada Allahyarham Syeikh Haji Abdullah Fahim (Pulau Pinang) yang menjadi pengasas Sekolah Agama Daeratul Maarifatul Wataniah, Kepala Batas.
Dia menuntut ilmu kesufian demi melengkapkan dirinya menjadi seorang penyair dan penulis lirik lagu, kerana menurutnya setiap syair dan lagu yang diresapkan dengan ilmu kesufian boleh mempesonakan manusia.
“Lagu Azizah misalnya, bukan saja kerana nama my girl tapi bererti mulia. Azizah simbol kemuliaan makhluk ALLAH,” jelasnya.
Allahyarham juga berkesempatan belajar ilmu Tauhid daripada Allahyarham Syeikh Tahir Jalaluddin dan Allahyarham Fadlullah Suhaimi di Singapura.
Dia banyak mempelajari ilmu Sufi dan hakikat dari ulama-ulama tersebut.
Sebagai seorang murid Sufi, dia banyak mengamalkan wirid nama-nama ALLAH terutama nama yang disebut ‘Asma Ul Husna’ dan ‘Bismillah’ 40 kali.
Allahyarham Syeikh Abdullah Fahim pernah berkata kepada saya, bahawa Ramli Putih (P. Ramlee) sangat dalam ilmu agamanya, terutama perihal ilmu Tauhid dan ilmu Sufi.
“Sebelum dia berpindah ke Singapura, dia ada beritahu saya, dia nak jadi bintang filem, jadi orang wayang. Saya tak larang, tapi saya pesan jangan lupa ilmu dalam dada.” Kata Syeikh Abdullah Fahim.
Allahyarham P. Ramlee berkata kepada saya, “You bernasib baik, jadi ustaz, jadi wartawan. Kalau you jadi bintang filem, orang wayang macam I, you pun hanyut macam I juga.”
“Sungguh pun I tunggang langgang, tapi I tak lupa ilmu yang I belajar daripada orang tua kita (Syeikh Abdullah Fahim).” kata seniman agung itu.
“Saya berdosa kepada ALLAH, tapi apa boleh buat, dah terlanjur jadi orang wayang. Hidup penuh glamor. I harap I sempat taubat.” katanya lagi.
“Kalau I lupa ayat tu (ayat Al Quran yang dituntut dari Syeikh Abdullah Fahim), I dah nak mati, I harap I sempat taubat.” Kata seniman agung itu sambil mengeluh.
Allahyarham memberitahu, bahawa hidupnya sebagai bintang filem dan penghibur, penuh dengan bermacam-macam kegembiraan, tetapi kerana memikirkan dosa, hampir saban malam beliau bersedih. Dia menjelaskan, kerana hidupnya sentiasa dalam derita jiwa, dia menjadi orang boros, …
Apabila saya membaca berita tentang kematian P. Ramlee dalam akhbar, saya teringat akan banyak sikap dan perkataannya dalam pergaulannya dengan saya.
Dia tidak suka kepada perangai sombong, besar diri, berlagak, dan juga menindas sesama manusia.
Di antara filem-filemnya yang memprotes golongan feudal dan hartawan ialah Musang Berjanggut, Nujum Pak Belalang dan Penarik Beca.
Filem Musang Berjanggut memprotes golongan istana dan ulama yang bersikap macam musang dan filem Penarik Beca memprotes golongan kaya-raya.
Boleh dikatakan semua filem P. Ramlee mempunyai kritikan dan kecaman terhadap orang-orang yang tidak mengikut ajaran Islam.
Manusia ini, walau macam mana tinggi dan agung namanya, dia tidak boleh lari dari takdir dan iradat ALLAH.
Begitulah Allahyarham P. Ramlee yang hidup penuh glamor, tetapi akhirnya dia sedar dan menjadi seorang yang derita batinnya.
Manusia yang hidup mewah, dikelilingi wanita-wanita cantik selalunya lupakan ALLAH, tetapi ALLAH tidak pernah lupakannya dan akhirnya dia sendiri tersungkur dengan keinsafan atas dosanya yang banyak.
Pada akhir hayatnya, Allahyarham P. Ramlee menjadi seorang insan yang tidak mahukan harta dan kekayaan dan dia menjadi seorang manusia yang miskin tetapi kaya dengan karya seninya.
Kerana dia sudah menyatakan yang dia akan bertaubat, maka saya yakin sebelum beliau meningga dunia, beliau sempat bertaubat dari segala dosanya.
Kini lagu-lagu yang diserapkan dengan roh sufi masih bergema di mana-mana, tetapi siapa yang mengetahui akan dirinya yang asing dari kita dan hanya berada di hadapan ALLAH yang akan menilai dirinya – apakah dia seorang hamba yang masih berdosa atau tidak.
Kisah ringkas seniman agung ini boleh menjadi contoh dan teladan bagi kita yang masih hidup.
Kerana kita yang hidup ini tentulah mengalami dan sedang mengalami apa yang telah dirasakan oleh Allahyarham P. Ramlee pada masa usianya masih muda dan hidup penuh glamor.
Manusia tidak selama-lamanya dalam kebahagiaan, dalam kemewahan, seperti juga manusia tidak selama-lamaya muda remaja.
Akhirnya badan menjadi tua dan ketika rumah kata pergi dan pusara kata mari, barulah insan itu sedarkan diri, terasa dosa menjadi beban dan ketika itulah sesal datang bertimpa-timpa.
Artikel ini saya jumpa dalam sebuah majalah lama dan ia ditulis oleh penulis yang menamakan dirinya AKHDIAT MIHARJA.
Semoga kita dapat jadikan pedoman dan sempadan dalam kembara hidup kita yang sementara ini.