Shaheizy Sam buat kejutan kepada Bell Ngasri selepas bergelar Bintang Paling Popular ABPBH 2023. Penyandang gelaran Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak tiga kali, Shaheizy Sam bangga sahabatnya, Bell Ngasri merangkul trofi sama hasil perih jerihnya lebih tiga dekad dalam dunia seni.
Ini kata2 Shaheizy Sam untuk Bell Ngasri
Pernah berganding dengan Bell, 43, dalam telefilem Pa’e yang disiarkan pada 1997 ketika mereka masih remaja, Sam, 40, berkata, temannya itu layak memegang gelaran Bintang Paling Popular.
“Saya ucapkan tahniah kepada Bell… Tiada persoalan yang perlu diberikan, anugerah itu selayak-layaknya diberi kepada Bell.
“Saya hadir pada malam kemuncak ABPBH 35 termasuk Uncle Harun Hashim (pelakon veteran) di mana kami pernah bekerjasama dalam telefilem Pa’e.
“Ketika bekerjasama dalam drama itu, saya sedar hebatnya bakat dalam diri Bell.
“Ketika itu, Bell memberi impak besar dalam dunia lakonan dan sedikit sebanyak, Bell beri inspirasi kepada saya untuk jadi pelakon baik.
Jadi, pada malam kemuncak ABPBH 35, apabila saya dan Uncle Harun tengok Bell naik atas pentas ambil anugerah, kami fikir ia adalah suatu yang sangat berbaloi,” katanya melalui tayangan video pada sesi Podcast ABPBH 35 yang disiarkan di Facebook (FB) dan YouTube BH di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Bell diisytihar Bintang Paling Popular ABPBH 35 dan menerima trofi Artis Komedi Popular.
Sam meraih trofi Bintang Paling Popular pada edisi ABPBH ke-24, 26 dan 28.
Sam yakin atas pengiktirafan itu, kerjaya Bell sebagai artis serba boleh akan terus menyinar.
“Pada Anugerah Skrin (ASK) 1997, Bell menang trofi Aktor Pembantu Terbaik dan mungkin selepas itu, macam-macam anugerah yang pernah dimenangi.
“Berdasarkan pengalaman sendiri di platform ABPBH, acara anugerah ini adalah luar biasa.
“Walau terbaik macam mana pun kita, tanpa sokongan peminat dan penyokong, mustahil untuk kita dapat anugerah itu. Jadi, saya faham bagaimana terharunya Bell pada malam itu.
“Saya doakan agar Insya-Allah, kejayaan akan terus datang bergolek ke arah Bell. Teruskan berjuang kerana tanpa Bell sedar, dia sudah memberi inspirasi kepada ramai penghibur yang ada di Malaysia ini,” katanya.
Sementara itu, Bell sangat terharu mendengar ucapan daripada kenalan lamanya itu.
“Sam pernah menangi trofi Bintang Paling Popular, maknanya, dia lebih dahsyat. Saya bukan tak nak jadi macam dia, tapi, mungkin nasibnya lebih baik selepas kami menjayakan Pa’e.
“Tetapi saya okay, Sam sentiasa beri semangat dan kata-kata dia sangat bagus.
“Saya juga terharu dapat tahu Uncle Harun datang pada malam kemuncak ABPBH 35. Tetapi sayang tidak dapat berjumpa. Saya doakan Uncle Harun sihat dan cerdas sentiasa,” katanya.