Setiap tahun sambut Raya Aidiladha, rupanya ada pantang larang yang ramai tak tahu. Ibadah korban adalah satu amalan yang sangat mulia dalam Islam, dilakukan sebagai tanda syukur kepada Allah SWT dan untuk mengenang pengorbanan Nabi Ibrahim AS.
Namun, bagi mereka yang terlibat dalam ibadah ini, terdapat beberapa larangan yang sewajarnya dipatuhi. Pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid menjelaskan beberapa perkara penting yang perlu diambil kira oleh peserta ibadah korban.
Larangan Memotong Kuku dan Rambut
Menurut Ustaz Wan Akashah, peserta ibadah korban disyorkan untuk tidak memotong kuku, rambut, atau bulu badan sejak masuknya 1 Zulhijah sehingga haiwan korban masing-masing disembelih, selama empat hari Aidiladha. Larangan ini termasuk bulu-bulu di wajah seperti misai dan janggut serta bulu-bulu pada badan seperti bulu kaki.
Beliau menyatakan bahawa perkara ini bukan larangan yang membawa hukum haram, tetapi lebih kepada sunat, iaitu perbuatan yang sangat dianjurkan untuk dilakukan. Fakta ini dikuatkan lagi dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim:
“Sesiapa yang memiliki haiwan korban untuk disembelih, apabila kelihatan anak bulan Zulhijah, maka janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.”
Imam An-Nawawi dalam kitab Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab menyatakan bahawa makruh untuk memotong kuku atau rambut pada tempoh tersebut.
Makruh yang dimaksudkan adalah makruh tanzih, iaitu perbuatan terlarang tanpa dosa yang menyalahi adab dan lebih baik ditinggalkan.
Imam An-Nawawi menyatakan bahawa ini supaya segala anggota badan kita itu akan terhindar daripada api neraka.
Menjaga Anggota Badan
Ustaz Wan Akashah menekankan bahawa apabila kita berniat korban, peliharalah seluruh tubuh kita dengan sebaik-baiknya. Jika ada bulu tercabut secara tidak sengaja, perkara itu dimaafkan dan tidak perlu disimpan.
“Ingatlah, janganlah kita menyusahkan diri sendiri dalam ibadah korban (dengan menyimpan kuku atau bulu yang tercabut sehingga haiwan korban disembelih). Cukuplah kita melakukan yang terbaik mengikut kemampuan kita,” katanya.
Upah Tukang Sembelih
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa orang yang melakukan ibadah korban dilarang mengupah daging korban kepada tukang sembelih.
Sekiranya mereka hendak memberikan upah, gunakanlah duit lain, bukannya daripada daging korban.
Tukang sembelih boleh mengambil daging korban tersebut asalkan ia bukan sebagai upah tetapi atas dasar dirinya merupakan ahli kariah yang sememangnya termasuk sebagai penerima agihan daging korban.
Dalam agihan daging korban, sebaik-baiknya satu pertiga diambil oleh individu yang menyertai ibadah tersebut, manakala baki satu pertiga lagi masing-masing perlu dipastikan sampai kepada fakir miskin atau orang ramai secara adil.
Ibadah Korban dan Akikah
Ustaz Wan Akashah juga menjelaskan bahawa kita dibenarkan untuk melakukan ibadah korban dan akikah dengan melibatkan seekor haiwan seperti unta atau lembu yang mempunyai masing-masing tujuh bahagian.
Misalnya, seseorang boleh membuat dua bahagian untuk akikah dan lima bahagian lagi untuk ibadah korban. Namun, apa yang tidak dibenarkan adalah menggabungkan niat untuk melakukan akikah dan korban pada bahagian yang sama, kerana kedua-duanya adalah ibadah yang berbeza.
Adab dan Amalan Sunat dalam Ibadah Korban
Kita disarankan untuk menggunakan pisau yang tajam ketika menyembelih haiwan korban dan tidak menakut-nakutkan binatang dengan menunjukkan bilah pisau tersebut.
Selain itu, bagi mereka yang berniat untuk melakukan ibadah korban, disyorkan untuk berpuasa bermula dari 1 hingga 9 Zulhijah, terutamanya pada hari Arafah (9 Zulhijah).
Hari Arafah adalah waktu yang baik dan mustajab untuk berdoa, terutamanya bagi individu yang berpuasa pada hari tersebut.
“Selain itu, banyakkanlah bertasbih, bertahmid, bertakbir, memuji Allah SWT, dan bersedekah, serta hindari melakukan maksiat,” tambahnya.
Ibadah korban adalah satu amalan yang sangat ditekankan dalam Islam. Dengan memahami dan mematuhi pantang larang serta adab yang telah ditetapkan, kita dapat melaksanakan ibadah ini dengan sempurna dan mendapatkan ganjaran yang besar dari Allah SWT.
Semoga ibadah korban yang kita laksanakan diterima dan diberkati oleh-Nya.