Seram solat di R&R, disangka surau kosong rupanya ada ‘peneman’. Seorang lelaki mengalami pengalaman seram apabila ‘diganggu’ oleh makhluk bukan manusia ketika menunaikan solat Isyak di sebuah surau di kawasan rehat & rawat (R&R) di selatan Selangor.
Menerusi hantaran di X, Syazwan Zanini berkongsi pengalaman tersebut. Ketika kejadian, dia berada di surau itu seorang diri dan ‘diganggu’ selepas selesai mengerjakan solat Isyak dan memberi salam.
“Aku baru kena kacau. Aku solat Isyak seorang diri kat sini. Habis solat, aku bagi salam, lepas tu aku dengar orang bagi salam balik. Aku pusing, tak ada orang,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Syazwan juga bersyukur kerana lampu di surau itu masih menyala, namun dia merasa tidak berani untuk terus memandu selepas kejadian itu.
“Nasib baik dia tak tutup lampu. Sekarang aku dalam kereta tak boleh ‘drive’,” katanya.
Syazwan kemudian berkongsi carian Google yang menunjukkan bahawa kawasan tersebut terkenal dengan cerita-cerita seram. “Famous dengan hantu rupanya. Tapi aku rasa tadi mungkin jin Islam kot. Aku memang rasa ada orang ikut solat, tapi bila aku intai kat cermin tingkap (macam cermin sebab berpantul), tak nampak orang. Tapi aku intai sekali imbas sebab tengah solat,” jelasnya.
Hantaran tersebut mendapat perhatian pengguna X lain yang turut berkongsi pengalaman serupa.
“Ini benda biasa bang. Kalau ustaz yang solat pun cuak. Fitrah perasaan tu, cuma makhluk yang ikut tu baik, insya-Allah. Saya dulu pernah jadi imam kat masjid yang jemaah jarang-jarang ada, jadi saya faham,” komen Ridhuan Malik.
“Saya paling ‘nervous’ (resah) kalau waktu Subuh, Maghrib dan Isyak. Rasa meremang tu memang tak boleh cakap lah kalau solat seorang,” tambahnya.
Pengalaman seram juga dikongsi oleh Nizam Ahmad Daud, yang pernah mengalami kejadian di surau sekolah. “Pernah kena dekat surau sekolah. Solat Asar waktu semua pelajar asrama cuti, kena datang sekolah sebab ada program luar. Sembahyang kat tengah surau, lepas tu waktu rukuk, dekat celah kangkang nampak kain putih solat sekali,” ceritanya.
“Terus bangun lari keluar surau. Sebelum keluar toleh sekejap, rupanya memang tak ada orang,” katanya lagi.