Selepas ‘Kantoi’ belanja sakan guna kad debit orang, suami isteri minta mangsa padam hantaran. Baru-baru ini, tular di Facebook mengenai seorang wanita yang mendakwa kad debit miliknya telah digunakan tanpa pengetahuannya oleh sepasang suami isteri.
Difahamkan, kerugian yang dialami mencecah RM400 dan mangsa hanya menyedari kadnya hilang selepas mendapati berlaku transaksi tidak sah selama dua hari berturut-turut ketika mangsa menyemak baki akaun peribadinya.
Menurut mangsa, kali terakhir dia menggunakan kad tersebut pada 3 Februari di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Johor sebelum menaiki perkhidmatan e-hailing untuk pulang ke rumah.
Berdasarkan rekod, transaksi tidak sah itu dilakukan pada 4 dan 5 Februari di beberapa lokasi sekitar Skudai.
Dalam pada itu, mangsa memperlihatkan rakaman CCTV yang diperoleh di premis terbabit, yang menunjukkan kegiatan pasangan tersebut yang menggunakan kad debit itu di beberapa premis.
“Tak sangka nampak muka orang yang gembira menggunakan duit dari hasil titik peluh orang lain,” tulisnya di satu hantaran di Facebook.
Susulan tular hantaran tersebut, pelaku tampil menghubungi mangsa dan berjanji untuk membayar semula wang yang diambil.
Dakwanya, dia memang menemui kad itu di dalam sebuah kenderaan e-hailing, namun menafikan bahawa mereka mencuri kad tersebut.
Si pelaku turut mendakwa dirinya hanya mencuba nasib sahaja sewaktu menggunakan kad bank yang dijumpainya dan tidak menyangka ia benar-benar berfungsi untuk melakukan transaksi menerusinya.
Susulan itu, dia memohon maaf atas kekhilafan dan berusaha untuk membayar semula wang yang sudah dipakai.
Dalam pada itu, pelaku meminta mangsa untuk memadamkan posting terbabit kerana tidak mahu kes diperbesarkan lagi.
Bagaimanapun, mangsa mendakwa tidak menerima sebarang pengembalian semula wang tersebut dan telah merujuk kes ini kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.
Namun, meninjau ke ruangan komen, pelaku tampil memaklumkan bahawa dia sudah pun mengembalikan wang tersebut. Agak mengejutkan apabila si pelaku tetap menyalahkan mangsa kerana cuai dalam hal tersebut.
Malah, dia siap mengugut akan membuat laporan polis jika mangsa masih berdegil tidak mahu menurunkan hantaran terbabit yang dipercayai memburukkan imej mereka di media sosial.