Selalu kena marah dengan pelanggan sebab lambat buat kerja, lelaki ini terpaksa pakai ‘tag’ OKU pada baju. Kita perlu bersyukur kerana tidak semua orang dilahirkan dalam keadaan sempurna di dunia ini.
Tambahan lagi bagi Orang Kurang Upaya (OKU), yang pasti menghadapi cabaran sukar untuk mencari pekerjaan dalam keadaan yang serba kekurangan.
Begitulah yang dialami oleh seorang lelaki yang sering dimarahi, dimaki hamun, malah pernah dipukul oleh pelanggan apabila berlaku salah faham ketika mengambil pesanan.
Pakai tanda nama ‘OKU’ kerana sering dimarahi pelanggan
Menurut laporan Harian Metro, insiden ini dialami oleh seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam, Che Mohd Fadil Che Abdul Rahman, 42, sepanjang lapan tahun bekerja di sebuah premis kedai makan di Jalan Dusun Muda.
Disebabkan pelbagai kejadian yang sering berlaku daripada pelanggan di tempat dia bekerja, dia terpaksa memakai tanda nama ‘Maaf Saya OKU’ yang disemat di bajunya.
Namun, katanya, walaupun dengan tanda nama tersebut, masih ada insiden yang berlaku di luar kawalannya.
“Tugas saya adalah untuk mengambil pesanan, dan jika berlaku banyak kekeliruan ketika membuat ‘order’ atau banyak arahan, saya menjadi tertekan.
“Walaupun begitu, ramai juga pelanggan yang bertimbang rasa. Malah, sejak saya memakai tanda nama ini, semakin kurang aduan yang diterima majikan mengenai saya kerana pelanggan memahami kekurangan saya,” katanya.
Difahamkan, sebelum ini dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat penghantar barang, dan selepas tamat kontrak, dia mencuba nasib di kedai makan tersebut dan diterima.
Katanya, secara luaran, dia kelihatan normal, namun lama-kelamaan majikan menyedari kekurangannya tetapi tidak mengambil tindakan untuk menamatkan perkhidmatannya. Sebaliknya, majikan terus memberi peluang kepadanya untuk meneruskan kerja.