Selalu guna air paip bersihkan hidung, lelaki maut dijangkiti Amoeba pemakan otak. Seorang lelaki di Florida, Amerika Syarikat meninggal dunia akibat amoeba pemakan otak yang disyaki termasuk ketika dia membersihkan hidungnya menggunakan air paip, kata pegawai kesihatan, lapor NBC News.
Dalam siaran berita pada 23 Februari, Jabatan Kesihatan negeri di kawasan Charlotte County berkata mereka sedang menyiasat punca jangkitan Naegleria fowleri.
Bagaimanapun, pesakit belum dikenal pasti secara terbuka. N.Fowleri ialah organisma bersel tunggal yang boleh ditemui di dalam tanah dan air tawar di seluruh dunia.
Difahamkan bahawa ia menyukai haba dan tumbuh pada suhu yang tinggi, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit.
Disebabkan itu, jangkitan ini kerap kali dilaporkan terjadi pada musim panas.
Dijangkiti Amoeba Pemakan Otak
Menurut laporan NBC News, kebanyakannya kes dilaporkan berlaku kepada pesakit yang berenang di tasik dan sungai.
Secara keseluruhannya, jangkitan sedemikian sangat jarang berlaku dan hanya boleh dijangkiti apabila air yang tercemar masuk melalui rongga hidung.
“Anda tidak boleh dijangkiti dengan meminum air paip,” tegas Jabatan Kesihatan dalam kenyataannya.
Jabatan Kesihatan menggesa orang ramai supaya menggunakan air suling atau air steril untuk membersihkan hidung mereka.
“Air paip hendaklah dimasak selama sekurang-kurangnya satu minit dan disejukkan sebelum membersihkan rongga hidung,” katanya.
Terdapat tiga kes jangkitan virus N.Fowleri yang disahkan berlaku selepas terdedah kepada air tawar di Iowa, Nebraska dan Arizona pada tahun lepas, menurut CDC.
Selain itu, sebanyak tiga kes juga dilaporkan berlaku setiap tahun pada 2019, 2020 dan 2021. Pada tahun lepas, seorang penduduk Missouri di Iowa dijangkiti virus berkenaan selepas berenang di Lake of Three Fires di Taylor County pada bulan Jun.
Ekoran daripada itu, Tasik Iowa ditutup buat sementara waktu selepas pesakit didiagnosis.
Di Nebraska, seorang kanak-kanak di Douglas County yang berenang di Sungai Elkhorn pada bulan Ogos telah dimasukkan ke hospital.
Selepas sepuluh hari dimasukkan ke dalam wad, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia.
Menurut NBC News, antara gejala jangkitan N.Fowleri adalah termasuk sakit kepala, demam, loya, hilang keseimbangan, kekeliruan, sawan dan kejang leher.
Penyakit ini merebak dengan cepat selepas gejala bermula dan pesakit biasanya akan meninggal dunia dalam masa 18 hari atau kurang.