‘Saya tidak kenal siapa wanita itu’ – MP Baling

'Saya tidak kenal siapa wanita itu' - MP Baling

‘Saya tidak kenal siapa wanita itu’ – MP Baling. Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad menafikan pernah menyebarkan kenyataan yang mengaitkan wujud pengaruh Israel dalam pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, audio yang dikatakan tular sejak beberapa hari lalu berhubung dakwaan tersebut tiada kaitan dengan dirinya.

Menurut Hassan, suara wanita berkenaan juga tidak dikenalinya dan menegaskan tidak pernah mengaitkan isu Israel dengan Anwar dalam mana-mana ceramah kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

'Saya tidak kenal siapa wanita itu' - MP Baling

“Saya tidak tahu siapa yang melakukan (audio) itu, saya juga tidak tahu siapa wanita dalam rakaman tersebut walaupun dia ada sebut nama saya.

“Dalam ceramah kempen PRU15 pun saya tak pernah sebut seperti didakwa wanita terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan terhadap dirinya yang dikaitkan dengan rakaman audio tersebut, Hassan berkata, setakat ini tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Sehingga kini, saya tak buat laporan polis, namun terserah pada penilaian parti (Pas) kelak jika perlu,” katanya lagi.

Pada Isnin, tular rakaman audio berdurasi 58 saat yang mana seorang wanita bercakap dalam dialek Baling, mengulas mengenai pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri yang didakwa dipengaruhi Israel.

Dalam audio itu, wanita berkenaan mendakwa Hassan memberitahunya ketika bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa pelantikan Perdana Menteri menemui jalan buntu berikutan keputusan PRU15.

Wanita tersebut mendakwa Hassan memaklumkan Perikatan Nasional (PN) telah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan baharu bagaimanapun mendakwa Anwar telah memberi tekanan dengan ‘menghubungi Israel dan kuasa asing’ untuk campur tangan dalam proses itu.

Sehubungan itu, pada Selasa, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Putrajaya, Ezam Saidi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya mendesak polis menyiasat dakwaan Anwar yang dikaitkan ejen Israel.

Sebelum itu, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil memaklumkan, PH akan mengambil langkah tegas dan membuat laporan polis terhadap fitnah yang dilemparkan terhadap parti itu.

Baca Lagi:
Anwar umum senarai kabinet hari ini – Sumber
Anwar beri tempoh 3 hari MP Baling tarik balik audio fitnah kaitkan pelantikan dengan pengaruh Israel
Netizen sindir PM10 ‘tolak Mercedes tapi pakai kasut harga ribu’, ini respon Anwar buat ramai terkejut

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *