
Sarawak kemungkinan akan perkenal mata wang sendiri – Alexander Nanta Linggi
Sarawak kemungkinan akan perkenal mata wang sendiri – Alexander Nanta Linggi.
Seorang pemimpin dari parti gabungan kerajaan Sarawak membayangkan kemungkinan negeri itu akan memperkenalkan mata wang sendiri, memandangkan keadaan ekonomi tidak menentu di Malaysia.
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pengenalan mata wang Sarawak antara langkah boleh dipertimbangkan sekiranya keadaan ekonomi negara dalam keadaan kurang memberangsangkan ini berterusan.
“Jika ekonomi Sarawak baik tetapi ekonomi negara tidak begitu baik, mungkin Sarawak akan memperkenalkan mata wang kita sendiri.
“Jika Sarawak lebih baik daripada yang lain, kenapa tidak (perkenal mata wang kita sendiri)?
“Inilah yang saya cuba tekankan,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Beliau berkata demikian melalui siaran podcast bertajuk ‘Dari Malaya ke Malaysia: 60 tahun’ hari ini.
Ahli Parlimen Kapit itu bagaimanapun berharap tidak pihak pihak yang akan menggelar beliau sebagai pengkhianat susulan langkah untuk memperkenalkan mata wang sendiri untuk Sarawak itu.
“Tetapi saya bercakap dengan serius. Jika kita begitu baik dalam membangunkan ekonomi kita, (maka) secara pengiraan, ekonomi kita sepatutnya kukuh,” katanya yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Menteri Kerja Raya itu bagaimanapun tidak menjelaskan mengenai undang-undang mana Sarawak akan memperoleh kuasa untuk memperkenalkan mata wangnya sendiri.
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, hanya Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa ke atas mata wang.
Untuk rekod, Bank Negara Malaysia (BNM) diberi kuasa oleh Akta Bank Negara Malaysia sebagai pihak berkuasa tunggal untuk mengeluarkan mata wang di negara ini.
Undang-undang mentakrifkan unit mata wang Malaysia sebagai ringgit.
Pada Julai lalu, terdapat laporan mengkategorikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi, demikian menurut ahli ekonomi Bank Dunia, Apurva Sanghi.
Apurva dipetik sebagai berkata, pendapatan negara kasar (PNK) Sarawak melepasi ambang pendapatan tinggi sebanyak AS$13,205 (RM61,500), berdasarkan pertukaran data Bank Dunia yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Negara.