Salji tebal luar biasa landa Afrika Selatan, ramai mangsa terperangkap lebih 13 jam dalam kenderaan. Salji tebal yang luar biasa telah menyebabkan gangguan pada laluan utama di Afrika Selatan pada Sabtu, yang turut mengakibatkan ramai mangsa terperangkap dan terpaksa bermalam di dalam kenderaan masing-masing.
Lebuh raya N3 yang menghubungkan Johannesburg dan bandar Durban adalah antara yang paling teruk terjejas, hingga menyebabkan beberapa bahagian terpaksa ditutup, dan laluan yang dilencongkan juga tidak dapat diakses.
“Perkhidmatan kecemasan berusaha keras untuk sampai ke lokasi mangsa yang terkandas. Selimut dan bekalan makanan diberikan kepada mereka,” ujar jurucakap pemerintah di wilayah KwaZulu-Natal.
Difahamkan, banyak trak diparkir di tepi jalan sejak Jumaat lalu, dan ada perkhidmatan bas antara wilayah yang terkandas di stesen petrol selama kira-kira tujuh jam akibat salji tebal tersebut.
Salah seorang mangsa, Muhammad Goolam, turut berkongsi pengalamannya bermalam di dalam kereta selama lebih 13 jam bersama anaknya di pinggir bandar Harrismith, yang terletak kira-kira 270 kilometer di tenggara Johannesburg.
Catatan mangsa terkandas tersebut dikongsikan di platform X, mendakwa bahawa beberapa kawasan diselubungi salji setebal dua meter.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Pengurusan Sempadan memaklumkan bahawa mereka menutup tiga pos sempadan dengan Lesotho berikutan situasi yang semakin berbahaya.
“Ancaman salji tebal dengan amaran peringkat jingga bakal dilaksanakan di beberapa bahagian di seluruh negara,” jelas jurucakap Perkhidmatan Cuaca Afrika Selatan, Luthando Masimini, yang menyifatkannya sebagai ‘keadaan ekstrem’.
Fenomena jarang berlaku ini turut menarik minat segelintir penduduk tempatan, termasuk Justin Nadasem Baker, yang sanggup memandu selama tiga jam dari Johannesburg ke Warden, yang terletak kira-kira 50 km dari Harrismith.
“Kami sekeluarga sangat teruja untuk melihat dan bermain salji,” katanya.
Snow in South Africa between Johannesburg and Durban, with some locations reporting up to 6 feet ❄️ 😳pic.twitter.com/UOGboa9aLN
— Hamish Mitchell (@H_MitchellPhoto) September 22, 2024