Rupanya ada sebab kenapa TikToker wanita ini selalu pakai ‘mask’ ketika bagi bantuan. Mengagihkan sumbangan pelbagai keperluan harian kepada golongan memerlukan, terutama gelandangan, asnaf, anak yatim, dan tahfiz, dapat menggembirakan mereka dan sekaligus mengurangkan bebanan kehidupan mereka.
Ramai pihak melakukannya, termasuk pempengaruh media sosial wanita yang dikenali sebagai ‘AZ Pemurah’ di platform TikTok yang dikendalikannya. Dia mahu berkongsi rezeki dengan golongan kurang berkemampuan.
Wanita yang mempunyai kira-kira 1.9 juta pengikut memuat naik video memberi sumbangan wang tunai dan barangan keperluan kepada orang yang memerlukan sambil merahsiakan identitinya dan menutup wajahnya dengan pelitup muka.
Tindakannya yang memakai pelitup muka dan tidak mendedahkan nama sebenar menimbulkan tanda tanya di kalangan warga maya yang menonton video yang dimuat naik.
“Saya melakukan ini bukan untuk mendapatkan pujian atau membanggakan diri, tetapi untuk menyentuh hati golongan yang berkemampuan dan dianugerahkan rezeki lebih daripada orang lain agar mereka juga dapat menjalankan kerja amal, walaupun dalam jumlah kecil.
“Saya berusaha melakukan ini setiap dua atau tiga bulan sekali apabila memperoleh sedikit keuntungan daripada hasil perniagaan saya dan berkongsi rezeki untuk membantu golongan memerlukan.
“Tujuan saya bukanlah untuk menunjuk-nunjuk bahawa saya mempunyai duit. Jika itu matlamatnya, mengapa perlu merahsiakan identiti? Malah penerima sendiri tidak mengetahui siapa saya.
“Melalui kandungan video saya, apa yang ingin disampaikan adalah memberi inspirasi kepada mereka yang mempunyai rezeki lebih dan kemampuan untuk melakukan perkara yang sama. Tidak rugi bersedekah untuk keberkatan,” katanya.
Wanita itu ditemui dalam satu program penyampaian bantuan di Kampung Tun Sardon, baru-baru ini.
Beliau menyatakan bahawa walaupun sumbangan yang diberikan tidak besar, ia cukup membahagiakan hatinya apabila dapat membantu mereka yang memerlukan.
“Selain daripada sumbangan dalam bentuk barangan keperluan, saya bersama pasukan juga turun membantu gelandangan, asnaf, anak yatim, tahfiz, dan sesiapa sahaja termasuk pesakit kanser di Semenanjung, Sabah, dan Sarawak.
“Sebelum memberikan bantuan, kami akan menyemak latar belakang penerima dan melakukan siasatan kerana ada kes yang pernah menipu kami dengan memberi maklumat palsu. Ini menjadi cabaran kerana apabila tidak membantu ada masalah, dan apabila membantu juga ada masalah.
“Saya hanya memberi sumbangan kepada insan yang benar-benar susah, walaupun menghadapi cabaran seperti penipuan. Saya telah melakukan kerja kebajikan ini sejak tiga tahun lalu.
“Pelbagai jenis permohonan diterima, seperti membaiki rumah rosak, menampung kos rawatan dan perjalanan ke hospital, serta wang belanja bagi mereka yang baru diberhentikan kerja.
“Jika permohonan diterima dari jauh, seperti dari luar Pulau Pinang, saya akan minta rakan untuk memantau dan menilai keadaan sebenar pemohon sebelum kami turun memberikan bantuan,” katanya.