Rugi RM250 juta, MOF dalam proses lelong Perkampungan Tok Senik, Langkawi. Kementerian Kewangan (MoF) kini sedang mengadakan proses lelongan Projek Perkampungan Tok Senik di Langkawi selepas pusat peranginan tersebut dilaporkan mengalami kerugian besar berjumlah RM250 juta.
Maklumat tersebut disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, yang melakukan tinjauan ke tempat peranginan tersebut bersama ahli PAC lain pada pagi tadi.
“Resort Melayu Tradisional yang indah, tetapi ditutup disebabkan oleh kerugian besar berjumlah RM250 juta.”
“Kini dalam proses lelongan oleh Kementerian Kewangan (MOF). PAC akan menyiasat isu pengurusan seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN),” katanya di X.
Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mendedahkan bahawa Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) gagal mengutip hasil cukai Projek Perkampungan Tok Senik sebanyak RM8.30 juta sejak 2003.
Berdasarkan itu, PAC telah mengemukakan lima cadangannya pada Mac yang lalu kepada MOF dan LADA untuk dilaksanakan bagi menyelesaikan isu cukai projek Perkampungan Tok Senik Resort serta Hotel St Regis Langkawi.
Cadangan tersebut dikeluarkan selepas PAC memanggil beberapa saksi pada 30 November dan 13 Disember 2023, termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood Merican; Timbalan KSP (Pelaburan), Datuk Dr Shahrazat Ahmad; dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sebelum ini juga mengumumkan bahawa tanah pusat peranginan mewah tersebut masih dimiliki oleh LADA dan tidak pernah dikenakan cukai kepada sesiapa.
Beliau yang juga mengetuai bersama Lembaga Pengarah LADA menyatakan bahawa pusat peranginan mewah tersebut, yang telah beroperasi sejak 2016, masih belum diselesaikan disebabkan oleh masalah pengurusan semasa projek itu sedang dibangunkan.