Ronaldo kecewa, sedia tinggalkan Man United

22

London: Cristiano Ronaldo dilaporkan sedia meninggalkan Manchester United pada musim panas ini jika Red Devils tidak layak beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.

Ronaldo, 36, kembali ke United pada musim panas lalu sekali gus memberi harapan Red Devils mampu memenangi gelaran pertama selepas era Alex Ferguson di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer.

Bagaimanapun, United melalui kempen mengecewakan dan kini menduduki tempat ketujuh Liga Perdana sekali gus gagal meyakinkan penyokong bahawa mereka mampu merapatkan jurang dengan West Ham yang menduduki tempat keempat.

Menurut The Sun, wakil Ronaldo sudah mengadakan perbincangan dengan Richard Arnold yang akan mengambil alih tugas selaku Ketua Pegawai Eksekutif United dari Ed Woodward, berhubung masa depan Ronaldo.

Bintang Portugal itu akan berusia 37 tahun bulan depan dan diyakini mampu beraksi pada tahap tertinggi sehingga usia 40 namun dia mahu menamatkan kariernya bersama pasukan yang mampu bergelar juara.

Minggu lalu, Ronaldo memberi bayangan yang dia tidak mahu beraksi selain daripada pentas Liga Juara-Juara apabila menyatakan beraksi di Liga Europa adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Saya tidak mahu berada di kelab ini untuk bersaing di tempat keenam, ketujuh atau kelima liga. Saya di sini mahukan kemenangan.

“Saya kembali ke Manchester kerana saya sayang kelab ini. Ia bukan soal wang semata-mata. Saya percaya kami mempunyai potensi untuk memenangi kejuaraan yang penting,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.