Rompakan bank di Puchong, pengawal keselamatan maut ditembak

Rompakan bank di Puchong, pengawal keselamatan maut ditembak

Rompakan bank di Puchong, pengawal keselamatan maut ditembak. Seorang pengawal keselamatan maut selepas ditembak manakala seorang lagi cedera dalam satu rompakan nekad berhampiran sebuah bank di Puchong Prima, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata kejadian berkenaan berlaku pada 5.50 petang. Menurutnya, semasa kejadian terdapat empat pengawal keselamatan yang ditugaskan untuk mengambil wang tunai daripada sebuah bank untuk diangkut ke dalam van syarikat keselamatan dengan seorang pemandu menunggu dalam kenderaan.

Katanya, ketika mereka mengambil wang di bank berkenaan, dua pengawal keselamatan berada di dalam bank manakala seorang pengawal keselamatan berada di antara bank dan van itu dan seorang lagi pengawal keselamatan bersama pemandu berada dalam kenderaan.

Menurutnya, ketika kejadian, pengawal keselamatan yang berada di antara bank dan van sedang menyerahkan karung berisi wang kepada rakannya yang menunggu di van.

Pada masa itu, seorang suspek lelaki meluru ke arah mereka untuk merampas karung wang itu lalu berlaku pergelutan antara mereka bertiga.
Kemudian, kata Abd Khalid, suspek berusia 38 tahun disyaki memukul salah seorang daripada pengawal keselamatan sehingga cedera dan menembak seorang lagi pengawal keselamatan sebelum melarikan karung berisi wang itu.

Katanya, pemandu van keselamatan yang panik segera membawa pengawal keselamatan yang cedera di bahagian tulang belakang masuk ke dalam van dan memandu van itu sehingga ke Puchong Perdana, tidak jauh dari lokasi kejadian dan mangsa yang cedera itu disahkan meninggal dunia di dalam van.

Sementara itu, Abd Khalid berkata suspek yang dipercayai melakukan jenayah itu secara bersendirian berjaya ditahan di tempat awam sekitar Seksyen 24, Shah Alam pada 7 malam tadi bersama karung berisi wang tunai namun jumlah wang yang dibawa lari suspek masih dalam siasatan.

Menurutnya pistol yang disyaki digunakan suspek menembak pengawal keselamatan berkenaan ditemukan di lokasi lain dan polis masih menyiasat kenderaan yang digunakan suspek semasa melarikan diri. Dalam pada itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata kejadian berkenaan berlaku pada kira-kira 5 lebih petang semalam.

“Saya melihat ada sebuah van keselamatan berhenti di hadapan bank… datang seorang lelaki menghampiri pengawal keselamatan berkenaan lalu saya terdengar bunyi das tembakan dilepaskan,” katanya.

Baca lagi: 

[VIDEO] Cara mudah untuk pastikan ‘Water Heater’ selamat digunakan atau tidak

Ketahui 9 cara jaga buah pinggang yang ramai tidak tahu

Kerja syif malam boleh menyebabkan masalah daya ingatan dan jejas fungsi otak

Leave a Reply

Your email address will not be published.