Rider demam selepas hantar minuman kepada ‘hantu pegawai polis’. Seorang penghantar makanan di Bangkok mengalami detik menyeramkan apabila dia menerima pesanan daripada pelanggan yang telah meninggal dunia, lapor laman berita Thaiger semalam.
Suttinai Khamchuen, 30, berkata kejadian tersebut berlaku pada Isnin lalu apabila dia menerima pesanan daripada seorang pegawai polis di Balai Polis Pakkret, wilayah Nonthaburi.
Menurut Suttinai, pelanggan tersebut memesan enam botol air minuman dan dua cawan kopi serta menetapkan balai polis berkenaan sebagai alamat penghantaran.
Sebaik tiba, Suttinai memberitahu pegawai di balai polis bahawa dia berada di sana untuk menghantar pesanan tersebut.
Namun, pegawai berkenaan enggan menerima barang-barang tersebut dan menegaskan bahawa tiada sesiapa di balai yang membuat pesanan seperti yang dinyatakan oleh Suttinai.
Suttinai kemudian meninggalkan barang-barang itu di luar balai dan pergi.
Selepas kejadian, dia meminta seorang kenalan untuk menyemak nama pegawai polis yang membuat pesanan dan mendapati pegawai berkenaan telah meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada Februari lalu.
Ketika bertanya kepada seorang pegawai polis lain, Suttinai mendapati dia bukan satu-satunya penghantar makanan yang pernah mengalami kejadian menyeramkan tersebut.
Seorang lagi penghantar makanan juga pernah menerima tempahan minuman yang sama dan menghantarnya ke balai polis berkenaan sebelum ini.
Meskipun tidak menolak kemungkinan ada pihak yang cuba mengenakannya, Suttinai mengakui bahawa ia adalah pengalaman yang sangat menyeramkan.