Raya Jumaat ke Sabtu?

Raya Jumaat ke Sabtu?

Raya Jumaat ke Sabtu? “Serahkan kepada autoriti agama, jangan pula kita marahkan mereka (autoriti agama) kerana kita ada prosedur dan kriteria, malah ini bukan kali pertama kaedah itu digunakan, sebaliknya sudah lama.”

Demikian reaksi pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias berhubung tarikh 1 Syawal yang didakwa jatuh pada Jumaat, 21 April ini.

Mohd Kazim berkata, penggunaan kaedah rukyah yang digunakan untuk penentuan tarikh Syawal atau Ramadan bukan pertama kali digunakan sebaliknya sudah berdekad lama.

Raya Jumaat ke Sabtu?

“Kenapa tahun ini orang riuh-rendah sangat berhubung 1 Syawal, beza hanya satu hari saja.
“Kalau kita tak raya Jumaat, kita tetap akan raya Sabtu, konsep hari raya pun kita kena ubah balik,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Jaringan) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, penentuan 1 Syawal tidak dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya ada prosedur serta kriteria yang perlu diambil kira.

Untuk tujuan ini, beliau berkata, pihak berautoriti agama mempunyai kepakaran untuk perkara ini dan perlu diberikan kepercayaan.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya membantu menyelaras saja, kita tidak boleh letak tarikh 1 Syawal sesuka hati.

“Tarikh yang diletakkan di dalam kalendar itu hanya tarikh anggaran saja dan keputusan akhir terletak pada Pemegang Mohor Besar Raja-Raja,” katanya.

Kenampakan anak bulan 29 Ramadan jadi penentu

Proses penentuan Aidilfitri bergantung kepada kenampakan anak bulan pada Maghrib, 29 Ramadan, mengikut kriteria yang sudah ditetapkan menerusi Imkanur-Rukyah.

Untuk rekod, 29 lokasi di seluruh negara akan melaksanakan cerapan anak bulan untuk menentukan tarikh 1 Syawal pada 20 April ini.

Rektor Akademi Falak Malaysia, Persatuan Falak Syar’i Malaysia Shahrin Ahmad berkata, penggunaan kriteria Imkanur-Rukyah ini sudah dipersetujui untuk digunakan oleh Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura.

“Setiap negara berbeza penentuan serta kriteria kenampakan anak bulan mereka dan kita tidak boleh menyamakan bahawa setiap negara itu mempunyai kaedah yang sama.

“Perkara yang ditularkan itu menyebut berkaitan Pusat Astronomi Antarabangsa, pusat itu bukanlah agensi sedunia sebaliknya ia adalah agensi di bawah Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Setiap penentuan tarikh 1 Syawal itu perlu dibuat di negara berkaitan kerana kedudukan anak bulan sesebuah negara adalah tidak sama,” katanya kepada Metro Ahad.

Shahrin berkata, negara yang terletak di kedudukan ke barat dari negara ini adalah lebih cerah peluang untuk melihat anak bulan kerana itulah sifat pergerakan bulan.

“Contoh, waktu Maghrib di Malaysia tidak sama dengan UAE kerana kita berbeza empat jam dengan mereka, maka sudah pastinya kedudukan bulan juga berlainan.

“Negara yang terletak ke barat daripada Malaysia seperti India, Arab Saudi, Eropah dan sebagainya mempunyai peluang yang tinggi untuk melihat anak bulan.

“Saya nasihati orang awam supaya tidaklah terlalu gusar dengan tarikh penentuan 1 Syawal ini kerana kita mempunyai prosedur serta kriteria yang sudah ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, terdapat 29 lokasi cerapan untuk penentuan 1 Syawal dan semua data berkenaan akan dikumpulkan serta dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk persetujuan.

Katanya, keputusan rasmi hanya akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas semua persetujuan diperoleh.

“Tidak perlulah kita bimbang bila hari raya, apa yang penting adalah kita tunggu pengumuman yang rasmi dan kaedah ini sudah digunakan sejak sekian lama,” katanya.

Ketinggian, jarak lengkung antara hilal dan matahari asas penentuan

Kriteria penentuan tarikh 1 Syawal ditetapkan menerusi Imkanur-Rukyah iaitu menepati kadar tinggi hilal dan jarak lengkung antara hilal (sabit pertama selepas ijtima’) dan matahari.

Menerusi kenyataan, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) menggariskan bahawa, tinggi hilal di atas ufuk tidak kurang daripada tiga darjah dan jarak lengkung antara matahari dan bulan tidak kurang daripada 6.4 darjah.

“Kriteria Imkanur-Rukyah adalah satu kriteria yang digunakan sebagai asas yang menggambarkan ciri hilal yang dianggap boleh dilihat dengan mata kasar atau bantuan alat optik.

“Kaedah ini digunakan membabitkan dua elemen iaitu tinggi hilal dan jarak lengkung antara hilal dengan matahari semasa waktu Maghrib (matahari terbenam).

“Pemahaman masyarakat terhadap data hilal adalah penting supaya dapat mendapat gambaran potensi hilal kelihatan atau sebaliknya, terutama membabitkan tiga bulan utama semasa cerapan hilal dilakukan,” katanya.

Jupem berkata, pengetahuan ini boleh dijadikan panduan kepada orang awam untuk memahami sama ada hilal bagi sesuatu bulan itu berada pada tahap mustahil boleh dilihat atau sukar dilihat atau mudah kelihatan.

Katanya, gambaran itu dapat difahami dengan mengetahui beberapa ciri.

Antaranya ketinggian hilal di atas ufuk, jarak antara hilal dengan matahari, umur hilal daripada berlaku ijtimak sehingga hilal terbenam, tempoh hilal berada di atas ufuk dan sejauh mana data hilal itu menghampiri kriteria Imkanur-rukyah.

Jupem turut menyatakan, data hilal pada setiap tarikh 29 hari bulan Hijri dianalisis untuk mengetahui sama ada ia memenuhi syarat kriteria Imkanur-Rukyah atau sebaliknya yang menentukan jumlah hari dalam bulan hanya 29 hari atau 30 hari.

Bagi penentuan tarikh baharu tiga bulan utama yang membabitkan ibadat besar iaitu Ramadan, Syawal dan Zulhijah, ia akan ditentukan melalui kedua-dua kaedah hitungan (hisab) dan cerapan hilal (rukyah).

Kenyataan itu turut berkata, kebelakangan ini, banyak maklumat tersebar di media sosial berkaitan tarikh hari raya 2023 adalah lebih awal berbanding kalendar sehingga masyarakat tertanya-tanya selain menimbulkan kegusaran.

“Justeru, orang awam dinasihati supaya berhati-hati dalam membuat kenyataan sehingga boleh menimbulkan kerunsingan dalam masyarakat.

“Sebaik-baiknya, serahkan penetapan tarikh baharu bagi sesuatu bulan Hijri, terutama membabitkan ibadat puasa, Aidilfitri dan Aidiladha kepada pihak berkuasa selepas keputusan cerapan hilal di seluruh negara diperoleh dan pengumuman rasmi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” katanya.

Masyarakat Islam diminta supaya kekal bertenang

Shah Alam: Masyarakat Islam dinasihatkan untuk kekal tenang dalam keadaan harmoni menunggu pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April ini bagi penentuan tarikh permulaan 1 Syawal.

Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir dalam satu kenyataan berkata hitungan ahli falak adalah sesuatu yang bersifat tidak muktamad dalam penentuan 1 Syawal khususnya.

“Keputusan akhir adalah pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada malam tersebut tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di 29 lokasi yang ditetapkan.

“Atas titah perintah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, saya selaku Mufti Selangor ingin menasihatkan umat Islam khususnya di negeri ini untuk menghormati semua proses yang telah ditetapkan serta menyerahkan tanggungjawab menentukan permulaan 1 Syawal 1444H kepada pihak berautoriti,” katanya.

Jelasnya permulaan awal bulan Islam bergantung kepada kenampakan hilal (anak bulan) serta data kedudukan bulan pada tarikh cerapan di satu-satu negara dan penentuan awal Syawal di satu-satu negara tidak tertakluk kepada hasil kenampakan hilal atau data kedudukan hilal di negara lain.

Baca Lagi:
Taska didakwa abaikan kanak-kanak dalam bilik isolasi diarah tutup sementara
TMJ jumpa buaya besar ketika berenang di pantai depan istana
Dukun Mbah Slamet popular boleh gandakan duit, setiap kali pelanggan mahu gandakan duit dibunuh dan ditanam dalam kebun
CATEGORIES