Ramai yang tak tahu, sebelum bergelar ‘CEO Megah Holding’, Mustapha Kamal dulu pernah bergelar ‘Rockstar’. Sebut sahaja nama Mustapha Kamal, perkara pertama yang terlintas di fikiran pasti merujuk kepada watak ‘Papa’ atau gelaran Datuk yang sering dilakonkan di televisyen.
Gelaran ‘CEO Megah Holding’ sudah sinonim dengan dirinya, dan ia seakan terkena ‘sumpahan’ apabila watak yang dilakonkannya sering berkait rapat dengan elemen kemewahan dan kekayaan, yang dikatakan sesuai dengan identiti pelakon veteran tanah air ini.
Namun, pada suatu ketika dahulu, anak jati Kota Bharu, Kelantan ini sangat digilai oleh para wanita kerana wajahnya yang tampan, dikatakan persis model ‘Pan Asia’.
Bakat Mustapha Kamal dalam bidang lakonan tidak perlu dipertikaikan lagi, dengan kejayaannya merangkul dua Anugerah Bintang-Bintang Popular (ABP) pada tahun 1990 dan 1994, sudah cukup untuk membuktikan bahawa beliau selayaknya dijadikan idola generasi kini.
Namun, peminat filem tanah air mungkin tidak mengetahui bahawa pelakon filem Mira Edora ini memulakan kerjaya seninya sebagai gitaris dalam sebuah kumpulan muzik tempatan sekitar tahun 1985.
Sebagai pemain gitar untuk kumpulan rock Shock Wave di Kota Bharu, bakatnya sangat dihargai, terbukti dengan kerapnya beliau menerima jemputan untuk mengadakan konsert, termasuk persembahan di Pusat Karyaneka Kuala Lumpur sekitar tahun 1985.
Malangnya, hasrat kumpulan itu untuk menghasilkan album pertama mereka tidak kesampaian apabila kumpulan tersebut dibubarkan setelah semua ahlinya mendapat pekerjaan tetap yang dianggap lebih menjamin masa depan pada waktu itu.
Identitinya yang berambut panjang ketika itu kemudiannya melonjakkan namanya sebagai pelakon tanah air menerusi filem pertamanya, Dendang Remaja pada tahun 1988, arahan Allahyarham Johari Ibrahim.
Bermula dari situ, kerjaya seninya terus berkembang pesat apabila menerima banyak tawaran berlakon, kebanyakannya sebagai watak utama dalam sesebuah naskhah.
Hingga kini, Mustapha Kamal kekal relevan dalam industri perfileman tanah air. Walaupun peralihan zaman mula memperkenalkan artis-artis baharu, ia tidak menghalangnya untuk terus menjadi pilihan pengarah serta penonton di panggung.
Walaupun bergelar artis veteran, kemunculan Mustapha Kamal di kaca televisyen tidak pernah berhenti. Kebanyakan watak bapa atau golongan VIP sering menjadi miliknya.
Kini, artis kesayangan rakyat Malaysia ini semakin disenangi ramai dan kerap memuat naik video mesra bersama keluarga di Instagram dan TikTok.