Ramai yang tak tahu kereta warna merah cepat luntur berbanding warna lain, ini sebabnya. Kereta menjadi salah satu keperluan kepada sesetengah individu untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi dalam keadaan yang selesa tanpa menghiraukan cuaca.
Tambahan lagi, ia sangat sesuai untuk digunakan lebih-lebih lagi dalam perjalanan jarak jauh. Oleh itu, ramai yang mementingkan penjagaan kenderaan beroda empat ini untuk kekal ‘cantik’ di mata pemilik.
Salah satu aspek paling dinilai dan dijaga adalah cat kereta. Hal ini kerana warna cat meliputi hampir keseluruhan badan kenderaan dan mudah kelihatan dari jauh.
Walau bagaimanapun, pemilihan warna cat juga sangat penting bukan sahaja pada nilainya namun aspek-aspek lain juga perlu dipertimbangkan.
Tahukah anda, salah satu warna cat popular kereta, iaitu warna merah, difahamkan mudah untuk luntur berbanding warna lain?
Pastinya ramai yang tertanya bukan kenapa warna itu tidak bertahan berbanding warna lain. Untuk keterangan lanjut, ikuti perkongsian SK di bawah.
Warna Merah Cepat Luntur Betul ke?
Sebagai pengguna, anda perlu mengetahui semua warna cat kereta akan luntur dari semasa ke semasa. Faktor mengapa cat kenderaan pudar adalah disebabkan sinaran ultraungu (UV) yang terdapat dalam cahaya matahari.
Untuk pengetahuan, sinaran ini mengandungi tenaga yang menyebabkan tindak balas apabila menyentuh permukaan, yang mana ia memecahkan ikatan molekul.
Oleh itu, ia menyebabkan cat kereta menjadi pudar meskipun cat sekarang dibekalkan dengan teknologi melindungi cat daripada kerosakan matahari.
Meskipun semua warna cat kereta akan luntur, namun warna merah pudar paling cepat dan warna yang bertahan paling lama ialah warna putih, memetik Solar Style.
Apa kaitan dengan cat merah?
Jawapan kepada cat merah cepat luntur berbalik semula kepada topik penyerakan cahaya.
Dalam spektrum cahaya, warna merah bersifat memantulkan cahaya (merah) dan menyerap cahaya biru yang berada pada panjang gelombang lebih pendek.
Disebabkan itu ia mempunyai tenaga paling banyak untuk melakukan dan menyumbang kerosakan.
Sehubungan itu, warna merah lebih cepat berubah warna apabila sering terdedah kepada cahaya matahari.
Kalau nak tahu, pancaran cahaya matahari bukan sahaja menyumbang kepada kelunturan warna kereta tetapi perkara seperti habuk dan kotoran juga menyebabkan sesebuah kenderaan kehilangan kilauan cat.
Dalam pada itu, portal FawCustoms juga memaklumkan selain merah, warna hitam juga cepat luntur. Ini kerana warna hitam bersifat menyerap semua cahaya.
Inilah alasan mengapa objek berwarna hitam menjadi cepat panas, sementara itu cat putih pula bertahan paling lama.
Mengapa ramai beli kereta warna ini?
Dalam pasaran kereta, warna merah dan hitam antara salah satu warna paling laris selain warna perak (silver). Difahamkan, warna merah sering dianggap sebagai warna ceria, bertenaga dan melambangkan kekuatan.
Manakala warna hitam pula melambangkan kemewahan, status, elegan dan kualiti. Jadi, tidak hairan kenapa warna ini ‘laku keras’ dalam pasaran automotif.
Cara lindungi cat kereta
Untuk melindungi cat kereta, pemilik boleh bermula dengan mencuci kereta dengan kerap. Dengan ini, ia dapat membantu mempertahankan cat lebih lama.
Selain itu, cat kereta juga boleh ditambah dengan menggunakan salutan cat seramik. Cat ini bertujuan menyediakan lapisan pelindung jangka panjang untuk mengekalkan warna kereta.
Semoga bermanfaat.