Ramai yang tak tahu ikan lumba-lumba ada di Malaysia. Tahukah anda bahawa terdapat ikan lumba-lumba di perairan Malaysia?
Sebenarnya, masih ramai rakyat di negara ini yang tidak menyedari kewujudan ikan lumba-lumba atau dolphin yang menjadikan perairan negara sebagai habitat mereka.
Indo-Pacific Humpback, lumba-lumba Bala, Irrawaddy, dan Finless Porpoise adalah antara tiga spesies ikan lumba-lumba yang sering ditemui di perairan barat Semenanjung Malaysia, termasuk di Pulau Langkawi.
Malah, Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) turut mengiktiraf perairan di sekitar Langkawi sebagai Kawasan Mamalia Marin Penting (IMMA).
Pengiktirafan ini bukan sahaja menunjukkan bahawa perairan Langkawi mempunyai nilai ekologi yang tinggi, malah ia juga menandakan kawasan tersebut merupakan lokasi kritikal sebagai habitat utama bagi pelbagai spesies mamalia marin, termasuk ikan lumba-lumba.
Sama seperti ikan paus, ikan lumba-lumba juga merupakan mamalia marin yang bernafas menggunakan paru-paru seperti manusia.
Selain itu, interaksi ikan lumba-lumba dengan manusia sering direkodkan dalam filem dan dokumentari kerana haiwan ini dikatakan mempunyai tahap kepintaran yang tinggi.
Malangnya, ikan comel dan bijak ini berada di ambang kepupusan walaupun aktiviti penangkapan haiwan ini telah diharamkan di Malaysia.
Dahulu, kelangsungan hidup ikan lumba-lumba terancam oleh aktiviti ritual sesetengah komuniti laut. Kini, pencemaran dan kegiatan manusia yang tidak terkawal menjadi ancaman baharu kepada haiwan ini.
Menurut pengasas Pertubuhan Penyelidikan MareCet (MareCet), Dr Louisa, yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti penyelidikan dan pemuliharaan mamalia marin di Malaysia, ikan lumba-lumba adalah spesies indikator di laut.
“Mamalia marin ini adalah spesies indikator, iaitu penanda untuk kesejahteraan dan kesihatan laut.
“Apabila ikan lumba-lumba hilang, kita perlu risau tentang apa yang berlaku,” katanya lagi.
Di Malaysia, ikan lumba-lumba kini tergolong dalam spesies haiwan marin yang terancam.
Pada masa yang sama, ikan lumba-lumba memainkan peranan yang sangat penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem laut.
Namun, jika spesies haiwan ini tidak dipelihara, ia berdepan dengan ancaman kepupusan dan berisiko lenyap dari perairan negara.