Ramai yang sudah kena, ini taktik ‘Scam’ di lorong tol RFID yang ramai tak tahu. Lorong Radio Frequency Identification (RFID) sememangnya salah satu kemudahan yang memudahkan ramai pengguna plaza tol. Bagaimanapun, ada segelintir pemandu yang menyalahgunakan lorong tersebut untuk ‘scam’ pengguna plaza tol yang lain.
Menerusi perkongsian di Threads @hrzrfn, dia berkongsi rakaman dashcam mengenai pengalamannya berhadapan dengan situasi ‘scam RFID’.
Menurut @hrzrfn, situasi ini boleh dikesan apabila kenderaan di hadapan memasuki lorong RFID dan tersangkut kerana ketiadaan pelekat RFID pada kenderaan tersebut.
“Dia tak ada RFID sebab kalau baki tak cukup, akan ada tulis ‘baki tidak mencukupi’ dekat skrin,” jelasnya.
Kemudian, pemandu kenderaan hadapan langsung tidak mengundur untuk memberi peluang kepada sensor mengesannya.
“Jika orang lain sudah panik untuk mengundur apabila RFID tak dapat dikesan, tapi dia boleh tenang tunggu di hadapan palang,” katanya lagi.
Sebaliknya, pemandu kenderaan hadapan itu menunggu kenderaan di belakang bergerak ke hadapan untuk ‘cucuk’ dekat belakangnya.
Apabila kenderaan belakang masuk ke dalam lorong dan sensor mengesan RFID kenderaan tersebut, maka palang akan dibuka dan kenderaan hadapan memecut keluar.
Sementara itu, kenderaan belakang pula tersangkut di lorong RFID tersebut kerana ‘terbayar’ untuk kenderaan hadapan.
Sehubungan itu, dia meminta orang ramai untuk menjaga jarak semasa berada di lorong RFID supaya dapat mengelak daripada menjadi mangsa ‘scam RFID’.
Ramai warganet mengucapkan terima kasih kepadanya kerana menyorot perkara itu. Ada yang dahulunya menganggap situasi itu sebagai isu teknikal sistem, sebaliknya ia adalah satu taktik penipuan.
View on Threads